Jualan kenderaan baki tiga suku tahun 2024 diramal lemah, kurang faktor pemacu - RHB Investment | DagangNews Skip to main content

Jualan kenderaan baki tiga suku tahun 2024 diramal lemah, kurang faktor pemacu - RHB Investment

Jualan kenderaan Mac 2024 meningkat berbanding bulan sebelumnya didorong Aidilfitri dengan Perdua catat kenaikan 6%. Gambar Perodua
Oleh M. HERMAN HAMID

KUALA LUMPUR 25 April - Jualan kenderaan bagi tiga suku tahunan yang akan datang dijangka merosot kerana kekurangan faktor pemangkin seperti perayaan pada suku pertama tahun 2024 (1Q24).

 

Menurut RHB Investment Bank (RHB Investment), tambahan pula jualan keseluruhan industri kenderaan (TIV) akan mengalami proses normalisasi bagi baki suku tahunan seterusnya setelah meningkat 5% pada 1Q24 akibat penyelesaian tunggakan dan Aidilfitri.

 

"Walaupun TIV 1Q24 sudah membentuk 32% daripada ramalan TIV 2024 kami sebanyak 625,000 unit, kami percaya tahap TIV semasa tidak mampan.

 

"Ini memandangkan kekurangan perkara-perkara yang boleh memacu peningkatan jualan ke paras tertinggi baharu selepas dua tahun memecahkan rekod jualan keseluruhan," katanya dalam nota penyelidikan hari ini.

 

RHB Investment percaya penormalan volum jualan akan berlaku pada bulan-bulan akan datang kerana tunggakan dijangka terus menurun selepas tahun yang paling tinggi pada 2023.

 

ARTIKEL BERKAITAN: Jualan kenderaan pada Mac 2024 meningkat 10.5% kepada 71,052 unit berbanding Februari - MAA

 

Oleh itu, firma penyelidikan itu mengekalkan andaian TIV 625,000 unit serta mengekalkan saranan 'Neutral' sektor automotif.

 

"Pilihan teratas ialah Bermaz Auto (BAUTO)," ujarnya dengan harga sasaran (TP) RM3.35.

 

Sementara itu, RHB Investment berkata, EV membentuk 1.3% daripada jumlah TIV pada 1Q24 dengan BYD masih menerajui 71% jumlah pasaran tempatan walaupun terdapat banyak model baharu di pasaran susulan harga yang kompetitif.

 

"Walau bagaimanapun, kami berpendapat bahagian pasaran EV akan terus berlegar di sekitar paras semasa dan hanya akan meningkat secara bermakna selepas 2025," ujarnya.- DagangNews.com