Jualan kereta dijangka kekal kukuh hingga akhir tahun disokong model baharu – AmInvestment | DagangNews Skip to main content

Jualan kereta dijangka kekal kukuh hingga akhir tahun disokong model baharu – AmInvestment

Kereta dikatakan Proton S50 dipandu uji di Subang Jaya, baru-baru ini. - Gambar PUTRA AZRAN/Internet
Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 26 Sept - Jumlah jualan kenderaan dijangka kekal kukuh sehingga akhir tahun ini, disokong oleh tempahan tertunggak, trend sihat tempahan, pelancaran model baharu dan pembaharuan model semasa dalam pasaran, menurut AmInvestment Bank Research.

 

Firma penyelidikan itu berkata penampilan sulung model pada bulan Ogos adalah termasuk Honda City dan Toyota Corolla GR Sport serba baharu, bersama model terkini yang dijangka menyokong jumlah jualan dalam beberapa bulan akan datang.

 

“Selain itu, pendapat kami disokong kestabilan pekerjaan dan unjuran pertumbuhan keluaran dalam negara kasar (KDNK) 2023 hingga 2024 yang kukuh sebanyak 4% hingga 4.5%, terus menyokong perbelanjaan domestik yang berdaya tahan,” katanya dalam nota penyelidikan semalam.

 

Memetik statistik Persatuan Automotif Malaysia (MAA), AmInvestment berkata jumlah jualan keseluruhan industri kenderaan (TIV) bagi bulan lepas meningkat 12.7% bulan ke bulan (MoM) kepada 71,745 unit, berikutan jumlah jualan kereta penumpang meningkat 12% MoM kepada 64,633 unit, manakala segmen komersial melonjak 24% MoM kepada 7,112 unit.

 

“Pertumbuhan tersebut didorong kempen promosi Hari Kebangsaan dan ekosistem rantaian bekalan automotif yang semakin baik. Pada asas tahun ke tahun (YoY), TIV meningkat 6.2%, terutamanya disokong oleh pertumbuhan Mazda (37%), Perodua (20%) dan Toyota/Lexus (13%). Ini sebahagiannya diheret oleh jualan Nissan/Renault, yang menjunam 26% YoY,” ulasnya.

 

Firma itu menambah bahawa prestasi sektor yang kukuh pada Ogos menghasilkan TIV setakat tahun ini berjumlah 498,842 unit (11% YoY), yang dijangka mencapai sasaran TIV 2023 sebanyak 650,000 unit.

 

Mengulas mengenai prestasi jenama individu, AmInvestment berkata bahagian pasaran kumulatif Perodua melonjak 40.9% dengan jualan tahunan setakat ini sebanyak 204,232 unit pada Ogos, menunjukkan pencapaian 65% daripada sasaran jualan 314,000 unit bagi 2023 dan berada di landasan untuk mencapai unjuran kami sebanyak 300,000 unit.

 

“Pada Ogos, Perodua merekodkan jualan sebanyak 311,111 unit. Kami percaya jualan model kereta mampu milik seperti Axia, Myvi, Bezza, Alza dan Ativa akan terus memacu pertumbuhan volum jualan bulanan pada masa hadapan,” tambahnya.

 

Sementara itu, bahagian pasaran kumulatif Proton meningkat dua mata peratusan kepada 20.6% dengan 13,693 unit dijual pada Ogos, menunjukkan pertumbuhan 5% MoM, tetapi penurunan 8% YoY. Proton telah memulakan eksport model X90, dengan kenderaan utiliti sukan itu membuat penampilan sulung pada bulan lepas di tiga pasaran eksport – Mauritius, Afrika Selatan dan Brunei.

 

Sementara itu, bagi jenama bukan nasional, AmInvestment berkata bahagian pasaran Toyota setakat ini telah turun 0.2 mata peratusan YoY kepada 13.5% walaupun jualannnya bertambah baik sebanyak 67,283 unit.

 

Menurut firma itu, 10,275 unit telah dijual pada Ogos, yang akan terus disokong oleh pembaharuan model semasa dan pelancaran model baharu, di mana Toyota Yaris, hatchback segmen B buatan asing terlaris Malaysia telah berwajah baharu untuk mengukuhkan kedudukan utamanya dalam pasaran yang sangat kompetitif.

 

Di samping itu, sebanyak 1,880 kereta Mazda terjual pada bulan itu, yang menyumbang kepada pertumbuhan sedikit bahagian pasaran jenama itu kepada 2.6%. - DagangNews.com