Jualan kereta meningkat 10% kepada 74,896 unit pada Oktober 2023, bulan kedua tertinggi tahun ini - MAA | DagangNews Skip to main content

Jualan kereta meningkat 10% kepada 74,896 unit pada Oktober 2023, bulan kedua tertinggi tahun ini - MAA

Gambar hiasan
Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 15 Nov - Jualan kereta pada Oktober 2023 mencatat peningkatan sebanyak 10% kepada 74,896 unit daripada 68,156 unit pada bulan sebelumnya, didorong pertumbuhan kukuh dalam jumlah volum industri (TIV), menurut Persatuan Automotif Malaysia (MAA).

 

MAA berkata, jualan Oktober mewakili TIV bulanan kedua tertinggi pada 2023, selepas 78,849 unit dijual pada Mac lalu.

 

Katanya, ia juga merupakan kali ketiga tahun ini TIV bulanan melebihi sasaran 70,000 unit.

 

"Pada Ogos, jualan kereta meningkat 13% bulan ke bulan kepada 71,745, hasil peningkatan dalam isu rantaian bekalan ditambah dengan promosi Hari Kebangsaan beberapa syarikat kereta.

 

"Tahun ke tahun, jualan Oktober meningkat 22.78% daripada 61,002 unit," katanya dalam kenyataan media di sini, hari ini.

 

Menurut MAA, setakat tahun ini, jumlah jualan sehingga Oktober 2023 sebanyak 646,840 unit adalah 12% lebih tinggi daripada 578,917 yang dicatatkan dalam tempoh sama setahun lalu, hasil prestasi kukuh jenama nasional.

 

Sementara itu katanya, jumlah pengeluaran industri (TIP) mencecah 74,191 unit pada Oktober 2023, merangkumi kenderaan penumpang dan komersial.

 

"Angka ini mencerminkan peningkatan ketara sebanyak 7.32% berbanding bulan sebelumnya," katanya.

 

Tambahnya, menjelang November 2023, MAA menjangkakan jualan akan mengekalkan momentum, mencerminkan prestasi teguh yang dilihat pada Oktober 2023. - DagangNews.com