Jualan lebih rendah, PublicInvest semak turun unjuran pendapatan Hartalega sebanyak 35% bagi FY25 | DagangNews Skip to main content

Jualan lebih rendah, PublicInvest semak turun unjuran pendapatan Hartalega sebanyak 35% bagi FY25

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 8 Feb - Public Investment Bank (PublicInvest) menyemak turun unjuran pendapatan Hartalega Holdings Berhad sebanyak 35% bagi FY25 selepas mengambil kira purata harga jualan (ASP) dan jumlah jualan sarung tangan yang lebih rendah.

 

Katanya, kumpulan itu telah menurunkan ASP sarung tangannya sebanyak 5% dari suku tahun ke suku tahun sebagai usaha mendapatkan semula bahagian pasaran.

 

"Kami mendapati bahawa pengeluar sarung tangan dari China masih menjual pada harga diskaun (AS$14-16 bagi setiap 1,000 keping), sambil menikmati margin yang lebih baik kesan penurunan harga arang batu.

 

"Kami menjangkakan ASP akan kekal tidak berubah pada masa hadapan terutamanya disebabkan oleh persaingan sengit dari China," katanya dalam satu nota kajian.

ARTIKEL BERKAITAN: Pendapatan Hartalega bagi 9MFY24 susut 30.9% kepada RM1.3 bilion akibat jualan yang lebih rendah

 

Terdahulu, bagi suku ketiga berakhir 31 Disember 2023 (3QFY24), hasil kumpulan itu susut sebanyak RM46 juta atau 10% kepada RM416 juta berbanding RM461 juta pada suku sama tahun sebelumnya disebabkan jumlah jualan serta ASP lebih rendah.  

 

Walaupun mencatatkan hasil lebih rendah, kumpulan itu mencatatkan untung yang lebih tinggi sebanyak RM29 juta pada suku tersebut berbanding kerugian sebelum cukai sebanyak RM 31 juta pada sku sama tahun sebelumnya.

 

Firma penyelidikan itu berkata, prospek bagi industri sarung tangan Malaysia kelihatan suram kerana ASP dilihat tidak akan berubah disebabkan keengganan pelanggan menyerap kos tambahan akibat persaingan harga yang sengit daripada pengeluar dari China.

 

Katanya, walaupun permintaan baru-baru ini menunjukkan tanda-tanda peningkatan, jangkaan normalisasi kadar pertukaran dolar Amerika Syarikat (AS), digabungkan dengan perbelanjaan operasi yang semakin meningkat terutamanya harga gas asli dan bahan mentah meningkatkan cabaran terhadap landskap operasi.

 

"Kami menyemak turun saranan kumpulan itu daripada 'neutral' kepada 'underperform' dengan harga sasaran (TP) RM2.07 sesaham," katanya. - DagangNews.com