Jualan segmen perubatan Supercomnet pada separuh kedua 2024 diunjur meningkat, kata TA Securities | DagangNews Skip to main content

Jualan segmen perubatan Supercomnet pada separuh kedua 2024 diunjur meningkat, kata TA Securities

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 28 Ogos - Jualan bagi segmen perubatan Supercomnet Technologies Bhd pada separuh kedua 2024 diunjur meningkat didorong pelancaran produk baharu.

 

TA Securities berkata, peningkatan hasil kumpulan itu akan turut disokong pemulihan segmen automotif kerana Stellantis akan menyambung semula pengeluarannya.

 

"Kami tidak membuat sebarang perubahan kepada unjuran pendapatan FY24 hingga FY26 sementara menanti maklumat lanjut daripada pengurusan kumpulan," katanya dalam atu nota kajian, hari ini.

 

Terdahulu, untung bersih separuh pertama 2024 sebanyak RM16.5 juta menyumbang 42% daripada ramalan tahun penuh firma itu dan 42.1% daripada anggaran konsensus. 

 

"Kami menganggap ia berada dalam jangkaan kerana kami menjangkakan jualan yang lebih kukuh pada separuh kedua 2024," katanya.

 

Prestasi lebih baik kumpulan didorong oleh segmen perubatan, terutamanya kabel video endoskopi Ambu. 

 

Dari segi pecahan hasil, segmen perubatan kekal sebagai penyumbang utama kumpulan, menyumbang 81% daripada jualan manakala segmen automotif dan perindustrian menyumbang 2% dan 17 % daripada hasil suku kedua.

 

Firma penyelidikan itu berkata, permintaan kabel video endoskopi dan gastroskop telah meningkat apabila pelanggan membuat lebih banyak pesanan.

 

"Jualan yang lebih tinggi dalam segmen perubatan mengurangkan kesan pesanan yang lebih lemah daripada segmen automotif. Ambil perhatian bahawa segmen automotif dilanda oleh pesanan yang lebih rendah daripada Stellantis (penstrukturan semula barisan pengeluaran)," katanya.

 

TA Securities mengekalkan saranan 'beli' dengan harga sasaran RM1.73 sesaham. - DagangNews.com