Jumlah dagangan Malaysia merosot 4.3% kepada RM225.1 bilion bagi bulan ke-10 berturut-turut pada Disember 2023 - DOSM | DagangNews Skip to main content

Jumlah dagangan Malaysia merosot 4.3% kepada RM225.1 bilion bagi bulan ke-10 berturut-turut pada Disember 2023 - DOSM

Jumlah dagangan merosot 7.3% seiring dengan prestasi eksport (-8%) dan import (-6.4%). - Gambar Fredrick F.
Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 19 Jan - Jumlah dagangan Malaysia terus mengalami penurunan pada Disember 2023, mencatatkan kemerosotan untuk bulan ke-10 berturut-turut sejak Mac 2023, didorong oleh permintaan global yang lemah dan harga komoditi rendah, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

 

DOSM berkata, jumlah dagangan turun 4.3% kepada RM225.1 bilion didorong oleh eksport lebih rendah, jatuh 10% kepada RM118.5 bilion, tahun ke tahun. 

 

Katanya, sebaliknya import menunjukkan peningkatan, mencatatkan peningkatan 2.9% kepada RM106.7 bilion. 

 

"Sementara itu, imbangan dagangan kekal dalam lebihan dengan nilai RM11.8 bilion, menyusut 57.8% pada Disember 2023. Bagi prestasi keseluruhan 2023, jumlah dagangan merosot 7.3% seiring dengan prestasi eksport (-8%) dan import (-6.4%)," katanya dalam kenyataan media di sini, hari ini.

 

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, prestasi eksport Malaysia mencatatkan penguncupan pada Disember 2023 selaras dengan penurunan yang ditunjukkan oleh kedua-dua eksport semula dan eksport domestik. 

 

Beliau berkata, eksport semula berjumlah RM21.2 bilion, menyusut 20.3% berbanding Disember 2022, selain eksport domestik bernilai RM97.3 bilion, menyumbang 82.1% kepada jumlah eksport, berkurang 7.4%. 

 

Katanya, import pada Disember 2023 bernilai RM106.7 bilion, meningkat 2.9% berbanding bulan yang sama tahun lepas. 

 

 

DOSM

 

 

"Sementara itu, lebihan dagangan menguncup 57.8% kepada RM11.8 bilion, lebihan dagangan ke-44 bulan berturut-turut sejak Mei 2020. Berbanding November 2023, prestasi eksport, import, jumlah dagangan dan imbangan dagangan merekodkan penurunan masing-masing 2.7%, 2.6% dan 3.6%," katanya.

 

Meninjau dari sudut kumpulan barangan katanya, 132 daripada 257 kumpulan eksport menunjukkan penurunan, manakala 132 daripada 259 kumpulan import meningkat berbanding bulan yang sama tahun sebelumnya.

 

Mohd Uzir berkata, eksport yang lebih rendah disumbangkan penurunan terutamanya ke Singapura (-RM5.2 bilion) diikuti Kesatuan Eropah (-RM3.1 bilion), India (-RM1 bilion), Republik Korea (-RM815.4 juta), Amerika Syarikat (-RM792.7 juta), Hong Kong (-RM731.8 juta) dan Thailand (-RM565.3 juta). 

 

Sementara itu katanya, import yang lebih tinggi disumbangkan terutamanya dari Amerika Syarikat (+RM1.5 bilion), diikuti oleh Singapura (+RM1.3 bilion), Republik Korea (+RM732.2 juta), Sudan (+RM592.9 juta), Arab Saudi (+RM530.2 juta) dan Rusia (+RM436.6 juta).

 

"Penyusutan eksport selaras dengan pengurangan barangan elektrik & elektronik (-RM6.3 bilion); minyak kelapa sawit dan keluaran pertanian berasaskan minyak kelapa sawit (-RM2.8 bilion) dan keluaran petroleum (-RM2.6 bilion). 

 

"Sementara itu, peningkatan import dicatatkan bagi petroleum mentah (+RM2.3 bilion); barangan elektrik & elektronik (+RM1.9 bilion) dan pertanian lain (+RM640.7 juta)," katanya.

 

Beliau berkata, peningkatan import mengikut penggunaan akhir seiring dengan permintaan yang lebih tinggi bagi barangan modal dan barangan perantaraan. 

 

Katanya, import barangan modal bernilai RM12.4 bilion, meningkat 24.6% berbanding Disember 2022, mewakili 11.6% daripada jumlah import. 

 

"Barang perantaraan (56.2% daripada jumlah import), meningkat 10.1% daripada RM54.5 bilion pada tahun sebelumnya kepada RM60 bilion. Barang penggunaan (8.6% daripada jumlah import), bernilai RM9.2 bilion, mencatatkan penurunan 0.7% atau RM60.3 juta," ujarnya.

 

Tambahnya, prestasi bagi suku tahun keempat 2023, jumlah dagangan dan eksport mengalami penurunan berbanding tempoh yang sama tahun lalu. Jumlah dagangan jatuh 3.2%, sejajar dengan pengurangan eksport (-6.9%). 

 

"Manakala, import meningkat 1.3%. Lebihan dagangan berjumlah RM36.9 bilion, berkurang 45.9% berbanding tempoh yang sama pada 2022. Jumlah dagangan, eksport, import dan lebihan dagangan bagi keseluruhan 2023 turut mencatatkan penurunan. 

 

"Jumlah dagangan turun 7.3%, daripada RM2.8 trilion kepada RM2.6 trilion, sejajar dengan penurunan eksport (-8%) dan mport (-6.4%). Pada masa yang sama, lebihan dagangan merosot 16.4% epada RM214.1 bilion," katanya. - DagangNews.com