KUALA LUMUR 11 Jun - Jumlah individu terlibat dalam pemberhentian kerja pada Mei 2024 berjumlah 4,894 orang, melonjak 38.2% pada Mei 2024 berbanding setahun sebelumnya, kata Maybank Investment Bank (Maybank IB).
Firma penyelidikan itu berkata, perbandingan bulan ke bulan (MoM) pula turut menyaksikan peningkatan 25.9% dengan April 2024 individu diberhenti kerja berjumlah 3,886 orang.
"Pemberhentian pekerja meningkat dengan ketara sebanyak +38.2% YoY dan +25.9% MoM kepada 4,894 pada Mei 2024 (April 2024: +11.1% YoY dan -5.2% MoM kepada 3,886).
"Walau bagaimanapun, trend berterusan kadar pengangguran yang rendah dan stabil serta penurunan dalam jumlah penganggur menunjukkan bahawa pekerja yang diberhentikan dapat memperoleh pekerjaan baharu," katanya dalam nota penyelidikan hari ini.
Maybank IB merujuk data pemberhentian pekerja berdasar jumlah mereka yang menuntut Sistem Insurans Pekerjaan (EIS) daripada Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).
ARTIKEL BERKAITAN: Kadar pengangguran 3.3% pada April 2024, tidak berubah 6 bulan berturut-turut - DOSM
Semenara itu, Maybank IB berkata, bilangan individu dalam kategori bekerja sendiri didapati berterusan meningkat daripada 2.39 juta pada Januari 2021 kepada 3.04 juta orang pada April 2024.
Menurut firma penyelidikan itu, data Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) menunjukkan pertumbuhan kategori bekerja sendiri mencecah 4.1% pada April 2024 berbanding dengan pertumbuhan pekerjaan keseluruhan sebanyak 1.9% tahun ke tahun (YoY).
"Sebahagian besar pekerjaan/pekerja tidak rasmi dalam ekonomi iaitu "Pekerja Akaun Sendiri" (iaitu pekerja pendapatan harian yang bekerja sebagai peniaga kecil, penjual kaki lima, pengendali gerai makanan serta penanam kecil, pekerja bebas dan pekerja gig) telah berterusan meningkat sejak Januari 2021 (2.39 juta).
"Ia mencapai puncak baru pada 3.04 juta pada April 2024 (Februari 2024: 3.03 juta) berikutan pertumbuhan yang lebih tinggi (April 2024: +4.1%) berbanding dengan pertumbuhan pekerjaan keseluruhan (April 2024: +1.9% YoY)," katanya.
Dalam pada itu, Maybank IB menjangkakan kadar pengangguran yang rendah akan berterusan pada tahun 2024.
"Selepas (pengangguran) turun kepada 3.4% tahun lalu dari 3.8% pada tahun 2022, dan mengambil tanda dari purata 3.3% pada April 2024, kami kini menjangkakan purata kadar pengangguran sepanjang tahun sebanyak 3.3% pada tahun 2024 berbanding dengan 3.4% sebelum ini," ujarnya. - DagangNews.com