KUALA LUMPUR 8 Dis -Jumlah penganggur terus menurun 3.4% kepada 570,900 orang pada Oktober 2023 berbanding 573,700 orang dalam bulan sebelumnya, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).
Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata pasaran buruh pada Oktober 2023 terus mengukuh, berikutan aktiviti ekonomi semasa yang menggalakkan, dengan peningkatan berterusan dalam bilangan penduduk bekerja, manakala pengangguran semakin berkurangan.
"Oleh itu, bilangan tenaga buruh berada dalam trend meningkat pada Oktober 2023, dengan pertambahan sebanyak 0.1% bulan ke bulan mencatatkan 16.97 juta orang (September 2023: 16.95 juta orang).
"Kadar penyertaan tenaga buruh pada Oktober 2023 tidak berubah iaitu pada 70.1 % seperti bulan sebelumnya," ujar beliau dalam satu kenyataan media hari ini.
Beliau turut menjelaskan bahawa bilangan penduduk bekerja pada Oktober 2023 terus meningkat bulan ke bulan sebanyak 0.2%, mencatatkan 16.4 juta orang berbanding bulan sebelumnya berjumlah 16.38 juta orang.
Memperincikan lebih lanjut mengenai situasi guna tenaga, Mohd Uzir berkata kategori pekerja merangkumi 75.3% daripada jumlah penduduk bekerja pada Oktober 2023, mencatatkan sedikit peningkatan 0.1% kepada 12.35 juta orang (September 2023: 12.33 juta orang).
Begitu juga, kategori penduduk bekerja sendiri terus meningkat dengan pertambahan 0.4% kepada 2.99 juta orang (September 2023: 2.97 juta orang).
Mengikut sektor ekonomi, terdapat peningkatan yang konsisten dalam bilangan penduduk bekerja dalam sektor perkhidmatan, terutamanya dalam aktiviti perdagangan borong dan runcit; perkhidmatan makanan dan minuman; serta pengangkutan dan penyimpanan.
Pada masa yang sama, sektor pembuatan, pembinaan, perlombongan dan pengkuarian, serta sektor pertanian juga mencatatkan pertambahan dalam bilangan penduduk bekerja pada Oktober 2023.
Mengulas mengenai situasi pengangguran pada bulan tersebut, Mohd Uzir berkata penganggur aktif atau mereka yang bersedia untuk bekerja dan aktif mencari pekerjaan, merangkumi 80.1% daripada jumlah penganggur.
"Kategori ini turun sebanyak 0.4% merekodkan 457,200 orang (September 2023: 458,900 orang). Dalam kalangan penganggur aktif, mereka yang menganggur kurang daripada tiga bulan meliputi 61.6%, sementara mereka yang berada dalam pengangguran jangka panjang melebihi setahun adalah 6.2%.
"Begitu juga, mereka yang percaya bahawa tiada pekerjaan tersedia atau penganggur tidak aktif berkurang sebanyak 0.9% mencatatkan 113,800 orang (September 2023: 114,800 orang)," tambahnya.
Pada Oktober 2023, kadar pengangguran bagi belia berumur 15 hingga 24 tahun adalah 10.7%, dengan 313,300 penganggur belia (September 2023: 10.6%; 310,100 orang), sementara kadar pengangguran bagi belia berumur 15 hingga 30 tahun turun sebanyak 0.1 mata peratusan kepada 6.6%, merekodkan bilangan penganggur belia seramai 439,600 orang (September 2023: 6.7%; 440,000 ribu orang).
Bilangan luar tenaga buruh pula menurun sedikit iaitu sebanyak 0.02% kepada 7.24 juta orang (September 2023: 7.24 juta orang), di mana komposisi terbesarnya adalah disebabkan oleh kerja rumah/tanggungjawab keluarga (42.6%) dan kategori bersekolah/ latihan (40.9%).
Mohd Uzir berkata ekonomi Malaysia dilihat bersedia ke arah prospek ekonomi lebih baik pada masa hadapan, dengan keyakinan perniagaan yang meningkat, mencerminkan perniagaan terus berkembang.
"Pertumbuhan ini disokong oleh pasaran buruh yang semakin baik, permintaan domestik yang meningkat, peningkatan aktiviti pelancongan dan pelaksanaan projek infrastruktur, yang seterusnya akan meningkatkan peluang pekerjaan.
"Justeru, pasaran buruh negara dijangka terus berada dalam momentum pertumbuhan stabil pada bulan-bulan berikutnya, walaupun dalam persekitaran ekonomi yang mungkin
mencabar," ujar beliau. - DagangNews.com