KUALA LUMPUR 8 Nov - Jumlah penganggur terus merekodkan penurunan sebanyak 0.6% kepada 573,700 orang, mengekalkan kadar pengangguran 3.4% pada September 2023, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).
Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, kedudukan tenaga buruh negara pada September 2023 kekal dalam trend pertumbuhan positif dengan peningkatan kecil dalam bilangan penduduk bekerja, manakala pengangguran terus berkurang selari dengan perkembangan ekonomi semasa.
“Oleh itu, bilangan tenaga buruh terus bertambah pada bulan September 2023, dengan peningkatan bulan ke bulan sebanyak 0.1% kepada 16.95 juta orang, mencatatkan kadar penyertaan tenaga buruh (KPTB) 70.1%, seperti yang direkodkan bulan lalu,” katanya dalam kenyataan media hari mengulas Statistik Tenaga Buruh September 2023 dan Suku Tahun Ketiga 2023.
Menurut Mohd Uzir, bilangan penduduk bekerja terus meningkat pada September 2023, dengan kenaikan kecil 0.1% kepada 16.38 juta orang berbanding 16.35 juta orang dalam bulan sebelumnya.
Mengulas lanjut mengenai kedudukan guna tenaga pada September 2023, beliau berkata 75.3% daripada jumlah penduduk bekerja adalah dalam kategori pekerja, mencatatkan sedikit peningkatan iaitu 0.1% kepada 12.33 juta orang.
Di samping itu, bilangan penduduk bekerja dalam kategori bekerja sendiri naik 0.2% kepada 2.97 juta orang.
Dari segi sektor ekonomi pula, sektor perkhidmatan terus menunjukkan peningkatan dalam bilangan penduduk bekerja terutamanya dalam aktiviti perdagangan borong dan runcit; perkhidmatan makanan dan minuman; serta pengangkutan dan penyimpanan.
Begitu juga, sektor pembuatan, pembinaan, perlombongan dan pengkuarian serta pertanian juga mempamerkan pertambahan dalam bilangan penduduk bekerja pada bulan tersebut.
Mengulas lanjut mengenai situasi pengangguran pada bulan tersebut, Mohd Uzir menyatakan bahawa mereka yang bersedia untuk bekerja dan aktif mencari pekerjaan atau penganggur aktif, merangkumi 80% daripada jumlah penganggur, berkurang 0.7% kepada 458,900 orang(Ogos 2023: 462,100 orang).
Mengikut tempoh pengangguran bagi penganggur aktif, 61.6% adalah mereka yang menganggur kurang daripada tiga bulan, manakala 6.1% adalah mereka yang berada dalam pengangguran jangka panjang melebihi setahun.
Begitu juga, penganggur tidak aktif atau mereka yang percaya bahawa tiada pekerjaan tersedia, mencatatkan penurunan 0.4% kepada 114,800 orang (Ogos 2023: 115.2 ribu orang).
Pada bulan tersebut, kadar pengangguran bagi belia berumur 15 hingga 24 tahun turun kepada 10.6%, merekodkan bilangan penganggur belia seramai 310,100 ribu orang (Ogos 2023: 10.8%; 309, 200 orang).
Pada masa yang sama, kadar pengangguran bagi belia berumur 15 hingga 30 tahun turun sebanyak 0.1 mata peratus kepada 6.7%, dengan bilangan seramai 440, 000 penganggur belia (Ogos 2023: 6.8%; 439, 000 orang).
Bagi luar tenaga buruh, bilangannya meningkat sedikit 0.1% kepada 7.24 juta orang pada September 2023 (Ogos 2023: 7.23 juta orang), di mana sebab utama penduduk berada di luar tenaga buruh adalah berikutan kerja rumah/ tanggungjawab keluarga (42.9%) dan sebab bersekolah/ latihan (40.3%).
Mengulas mengenai prestasi keseluruhan bagi suku tahun ketiga 2023, Mohd Uzir berkata bilangan tenaga buruh berada dalam trend menaik, dengan peningkatan 0.6% kepada 16.82 juta orang (ST2 2023: 16.73 juta orang), justeru KPTB naik 0.1 mata peratus kepada 70.1% (ST2 2023: 70%).
“Di samping itu, bilangan penduduk bekerja meningkat 0.6% kepada 16.25 juta orang pada suku tahun tersebut (ST2 2023: 16.15 juta orang). Sementara itu, bilangan penganggur berkurang 1.4% kepada 573, 100 orang (ST2 2023: 581,400 orang).
“Kadar pengangguran pada suku tahun ketiga 2023 turun sebanyak 0.1 mata peratus kepada 3.4% (ST2 2023: 3.5%),” tambahnya. - DagangNews.com