Jumlah perdagangan Malaysia susut 12.6% kepada RM224.4 bilion pada September 2023 - DOSM | DagangNews Skip to main content

Jumlah perdagangan Malaysia susut 12.6% kepada RM224.4 bilion pada September 2023 - DOSM

Gambar hiasan
Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 19 Okt - Berikutan permintaan global yang perlahan dan harga komoditi yang lebih rendah, jumlah perdagangan, eksport dan import Malaysia pada September 2023 kekal menguncup untuk bulan ketujuh berturut-turut sejak Mac 2023, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

 

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, jumlah perdagangan berkurang 12.6% kepada RM224.4 bilion, eksport menyusut 13.7% kepada RM124.5 bilion dan import menurun 11.1% kepada RM100 bilion, tahun ke tahun.

 

Beliau berkata, lebihan dagangan turut merosot 23% kepada RM24.5 bilion pada September 2023.

 

"Prestasi eksport Malaysia mencatatkan penguncupan pada September 2023 selaras dengan penurunan yang ditunjukkan oleh kedua-dua eksport semula dan eksport domestik. Eksport semula berjumlah RM27.8 bilion, menyusut 17.9% berbanding September 2022. 

 

"Eksport domestik bernilai RM96.7 bilion, menyumbang 77.7% kepada jumlah eksport berkurang 12.4%. Import pada September 2023 bernilai RM100 bilion, berkurang 11.1% berbanding bulan yang sama tahun lepas. 

 

"Sementara itu, lebihan dagangan menguncup 23% kepada RM24.5 bilion, lebihan dagangan ke-41 bulan berturut-turut sejak Mei 2020. Berbanding Ogos 2023, prestasi eksport, import, jumlah dagangan dan lebihan dagangan merekodkan peningkatan masing-masing 8.2%,  2.1%, 5.4% dan 42.7%," katanya dalam kenyataan media di sini, hari ini.

 

Menurut Mohd Uzir, meninjau dari sudut kumpulan barangan, 146 daripada 255 kumpulan barangan eksport dan 149 daripada 258 kumpulan barangan import menunjukkan penurunan berbanding bulan yang sama tahun sebelumnya.

 

 

DOSM

 

 

Katanya, eksport yang lebih rendah disumbangkan oleh penurunan terutamanya ke China (-RM3.5 bilion), diikuti oleh Singapura (-RM2.5 bilion), Jepun (-RM2.5 bilion), Indonesia (-RM1.9 bilion), Amerika Syarikat (-RM1.5 bilion), Australia (-RM1.4 bilion) dan Hong Kong (-RM1.2 bilion). 

 

"Sementara itu, penurunan import terutamanya disumbangkan dari Amerika Syarikat (-RM2.7 bilion), diikuti oleh Taiwan (-RM2.3 bilion), Indonesia (-RM2.2 bilion), China (-RM2.2 bilion), Arab Saudi (-RM1.8 bilion) dan Jepun (-RM1.5 bilion," katanya.

 

Mengulas lebih lanjut mengenai eksport, penyusutan selaras dengan pengurangan keluaran petroleum (-RM6.6 bilion); barangan elektrik & elektronik (-RM3.1 bilion); gas asli cecair (-RM2.5 bilion); minyak kelapa sawit & keluaran pertanian berasaskan minyak kelapa sawit (-RM2.2 bilion) dan barangan perkilangan lain (-RM1.2 bilion). 

 

Sementara itu, penguncupan import dicatatkan bagi barangan elektrik & elektronik (-RM3.2 bilion); petroleum mentah (-RM3.1 bilion); arang batu (-RM1.1 bilion); kimia & bahan kimia (-RM1.0 bilion) dan minyak kelapa sawit & keluaran pertanian berasaskan minyak kelapa sawit (-RM890.7 juta).

 

Mohd Uzir berkata, penyusutan import mengikut penggunaan akhir seiring dengan permintaan yang lebih perlahan bagi barangan perantaraan, barangan modal dan barangan penggunaan. 

 

Katanya, import barangan perantaraan (49.5% daripada jumlah import) bernilai RM49.5 bilion, mencatatkan kemerosotan 15.6% atau RM9.1 bilion. Barangan modal bernilai RM10.9 bilion menyusut 5.8% berbanding September 2022 dan merangkumi 10.9% daripada jumlah import. 

 

"Barangan penggunaan (8.8% daripada jumlah import) mencatatkan pengurangan 0.6% kepada RM8.8 bilion," katanya.

 

Prestasi bagi suku tahun ketiga (ST3) 2023, jumlah dagangan, eksport dan import mencatatkan kemerosotan berbanding tempoh yang sama tahun lalu. Jumlah dagangan turun 15.7%, selari dengan pengurangan eksport (-15.2%) dan import (-16.3%). 

 

Lebihan dagangan berjumlah RM59.1 bilion, menyusut 9.1% berbanding tempoh yang sama pada 2022. Berikutan dengan itu, jumlah dagangan, eksport, import dan lebihan dagangan bagi tempoh Januari hingga September 2023 turut mencatatkan penurunan. 

 

Jumlah dagangan berkurang 8.6%, sejajar dengan penyusutan eksport (-8.4%) serta import (-8.9%). Pada masa yang sama, lebihan dagangan merosot 5.7% bagi mencatatkan nilai RM177.3 bilion. - DagangNews.com