Jumlah pesakit KPJ Healthcare 2024 diramal berkembang 9% - Kenanga Research | DagangNews Skip to main content

Jumlah pesakit KPJ Healthcare 2024 diramal berkembang 9% - Kenanga Research

Johor Specialist Hospital terawal menerapkan identiti jenama baharu KPJ Healthcare.
Oleh M. HERMAN HAMID

KUALA LUMPUR 6 Sept - Kenanga Research menjangkakan jumlah pesakit KPJ Healthcare Bhd pada 2024 akan berkembang pada kadar 9% berbanding anggaran 7% dalam FY23 dengan kadar pengisian katil (BOR) mencecah 72%, berbanding 67% dalam FY23.

 

Firma penyelidikan itu berkata, pertambahan ini didorong daripada pemulihan permintaan untuk pembedahan elektif.

 

"Kami juga menyukai KPJ kerana kuasa penetapan harga sebagai penyedia penjagaan kesihatan swasta dan kedudukan pasaran yang kukuh secara tempatan dengan rangkaian terbesar sebanyak 28 hospital swasta (berbanding 16 hospital pemain terbesar seterusnya, IHH). 

 

"Namun, asas-asas telah mengambil kira kenaikan harga sahamnya baru-baru ini (YTD: +36%)," katanya dalam nota penyelidikan hari ini.

 

Kenanga Research dalam pada itu mengekalkan saranan 'Market Perform' bagi KPJ dengan harga sasaran (TP) RM1.95 sesaham.

 

"Keputusan kewangan suku kedua 2024 (2Q24) baru-baru ini menunjukkan sedikit peningkatan secara berturutan dalam prestasi pendapatan (berbanding dengan jangkaan kami) oleh sektor ini.

 

 

jsc
KPJ Healthcare menampilkan identiti jenama baharu pada tahun ini. -Gambar Johor Specialist Hospital.

 

"Secara umum, keputusan hospital swasta yang kukuh - IHH dan KPJ didorong oleh peningkatan ketara dalam operasi mereka secara menyeluruh akibat permintaan yang berterusan, campuran kes akut dan hasil yang lebih baik," ujarnya.

 

Sementara itu, kata Kenanga Reserch, pemain suplemen kesihatan dan farmaseutikal pula melaporkan keputusan yang bercampur-campur pada 2Q24.

 

"Pharmaniaga dan Kotra Industries Bhd memenuhi jangkaan, namun, Nova Wellness Group mengecewakan kerana pengguna mengurangkan pembelian sementara di tengah-tengah sentimen perbelanjaan yang lemah. 

 

"Ulangi saranan 'Overweight' untuk sektor penjagaan kesihatan. Pilihan utama kami untuk sektor ini adalah IHH (Out Perform; TP: RM7.73)," jelasnya.

 

Kata Kenanga Research, trend pengambilan suplemen selepas pandemik memberi kelebihan kepada Kotra yang mengeluarkan dan menjual suplemen pembelian di kaunter serta produk nutrisi dan farmaseutikal di bawah jenama utama seperti Appeton, Axcel, dan Vaxcel. 

 

"Kami juga menyukai Kotra kerana model perniagaannya yang terintegrasi merangkumi keseluruhan rantai nilai farmaseutikal dari R&D, konsep produk hingga pengeluaran dan penjualan, dan margin yang lebih baik dari model perniagaan pengeluaran jenama asal (OBM) berbanding dengan pengeluaran kontrak yang mempunyai margin rendah," katanya. - DagangNews.com