Jurujual didenda RM33,000 jual kotak TV android dengan pra kandungan Astro | DagangNews Skip to main content

Jurujual didenda RM33,000 jual kotak TV android dengan pra kandungan Astro

Gambar hiasan
Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 2 Okt - Mahkamah Sesyen Petaling Jaya hari ini mendakwa dan mendenda seorang jurujual, Nazwan Zainal Abidin kerana menjual kotak TV pra kandungan Astro yang tidak dibenarkan di bawah Seksyen 43AA(1) (2) Akta Hak Cipta 1987.

 

Dia mengaku bersalah atas pertuduhan itu dan membayar denda sebanyak RM33,000.

 

Nazwan, 45, melakukan kesalahan itu pada 14 Jun 2023 di sebuah kedai runcit di Taman Equine di Seri Kembangan, Selangor. 

 

Dia didapati memiliki tiga kotak TV Android yang dipramuat dengan kandungan tidak dibenarkan daripada Astro.

 

Tahun ini sahaja, Astro telah memfailkan sembilan tindakan undang-undang terhadap cetak rompak dan pelanggaran hak cipta yang mana seramai 10 individu didapati bersalah dan didenda sewajarnya. 

 

Akta Hak Cipta (Pindaan) 2022 telah diwartakan pada 10 Februari 2022. 

 

Penguatkuasaan undang-undang itu telah dilaksanakan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) pada 18 Mac 2022.

 

Impak utama pindaan itu ialah penjenakan penjualan peranti penstriman haram (ISD) dan aplikasi perisian berkaitan yang membenarkan akses tanpa kebenaran kepada kandungan hak cipta. 

 

Sesiapa yang didapati bersalah boleh didenda minimum RM10,000 hingga maksimum RM200,000 atau penjara sehingga 20 tahun, atau kedua-duanya sekali.

 

Pindaan kepada Akta Hak Cipta berikutan pengisytiharan oleh Mahkamah Tinggi Harta Intelek di Kuala Lumpur pada Mei 2021 bahawa penjualan, tawaran untuk penjualan, pengedaran dan/atau pembekalan ISD yang boleh memberikan akses tanpa kebenaran kepada karya berhak cipta, merupakan pelanggaran hak cipta di bawah Akta Hak Cipta 1987. - DagangNews.com