Justin Lim Hwa Tat ditetapkan semula jawatan sebagai Pengarah Bukan Eksekutif SMTrack | DagangNews Skip to main content

Justin Lim Hwa Tat ditetapkan semula jawatan sebagai Pengarah Bukan Eksekutif SMTrack

Datuk Justin Lim Hwa Tat
Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 25 Julai - SMTrack Bhd menetapkan semula jawatan Datuk Justin Lim Hwa Tat daripada pengarah eksekutif kepada pengarah bukan eksekutif berkuat kuasa serta-merta.

 

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, SM Track memaklumkan, Lim, 47, dilantik sebagai pengarah eksekutif pada 7 Januari 2022. 

 

Beliau juga menganggotai lembaga pengarah beberapa syarikat tersenarai awam, termasuk pengeluar kimia Sersol Bhd sebagai ketua pegawai eksekutif.

 

Bapanya, Datuk Lim Tiong Siang, ditetapkan semula jawatan sebagai pengarah bukan bebas bukan eksekutif SMTrack pada 6 Julai, daripada jawatan sebelumnya sebagai pengerusi eksekutif merangkap pengarah urusan.

 

Lim menjadi tumpuan baru-baru ini selepas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) meminta bantuan orang ramai untuk mengesannya bagi membantu siasatan berhubung arahan dan kelulusannya terhadap lima pembayaran berjumlah RM2.5 juta kepada sebuah syarikat swasta, HGC Legacy Enterprise.

 

Beliau mengeluarkan kenyataan mendakwa SPRM tidak cuba menyampaikan notis yang memerlukan kehadirannya untuk sebarang rakaman kenyataan mahupun menghubunginya untuk mendapatkan bantuan dalam siasatan. 

 

Agensi antirasuah itu bagaimanapun menolak sekeras-kerasnya tuntutan itu.

 

Sementara itu, Sersol mengumumkan bahawa ia telah mengeluarkan notis salah laku terhadap Lim, menuntut beliau kembali ke pejabat dalam masa seminggu.

 

Sersol berkata Lim telah pergi ke luar negara "untuk tujuan dan sebab yang hanya diketahui olehnya" dan mengarahkan supaya beliau segera memberikan jawapan bertulis kepada lembaga itu. - DagangNews.com