KAB cadang ambil alih kepentingan ekuiti PT GESO pada harga RM9 juta, bakal bina loji biogas di Aceh | DagangNews Skip to main content

KAB cadang ambil alih kepentingan ekuiti PT GESO pada harga RM9 juta, bakal bina loji biogas di Aceh

Oleh M. HERMAN HAMID

KUALA LUMPUR 6 Jun - Kinergy Advancement Berhad (KAB) menerusi anak syarikat milik penuhnya, KAB Energy Holdings Sdn Bhd (KABEH) bercadang membeli keseluruhan kepentingan ekuiti dalam PT Green Energy Specialist One (PT GESO) pada harga kira-kira RM8.89 juta.

 

Cadangan pengambilalihan ini merangkumi hak eksklusif ke atas tanah seluas 6.5 hektar di Aceh, Indonesia yang  mana KABEH akan membina loji biogas 4.26 megawatt (MW) di lokasi berkenaan.

 

Ini menunjukkan keupayaan KAB dalam bukan sahaja merancang dan membina tetapi juga membangun, menyelenggara dan memiliki projek tenaga yang pelbagai sekali gus mengukuhkan kepimpinannya dalam kelestarian sektor tenaga.

 

Dalam kenyataan hari ini, KAB berkata, PT GESO telahpun menjamin Perjanjian Pembelian Tenaga (PPA) dengan PT Perusahaan Listrik Negara (PLN), syarikat elektrik negara Indonesia. 

 

Katanya, PPA ini yang mempunyai tempoh 25 tahun dari tarikh operasi komersial memastikan aliran pendapatan yang stabil dan mengukuhkan pendapatan berulang KAB di peringkat serantau.

 

"Selain itu, cadangan pembelian ini melibatkan perjanjian eksklusif dengan empat pengilang kelapa sawit untuk pembelian dan penjualan efluen kilang kelapa sawit, menjamin bekalan bahan mentah secara konsisten yang penting untuk pengeluaran biogas kepada KABEH sebelum pembelian rasmi.

 

"Ini mencerminkan pengaturan strategik yang bertujuan untuk meningkatkan kecekapan operasi dan kebolehpercayaan loji. 

 

"Loji ini yang merupakan sebuah kemudahan biogas baru dengan kapasiti dipasang sebanyak 4.26MW, akan meningkatkan portfolio tenaga SES KAB dan mengukuhkan komitmen KAB terhadap penjanaan tenaga lestari dan pemeliharaan alam sekitar," kata KAB hari ini.

 

Sementara itu, Timbalan Pengerusi Eksekutif bersama yang juga Pengarah Urusan Kumpulan KAB, Datuk Lai Keng Onn berkata, pembelian loji biogas Aceh adalah langkah strategik yang sejajar sepenuhnya dengan pelan pertumbuhan dalam bidang tenaga lestari. 

 

kab
Lai Keng Onn bersama Pengara Geso, Syed Mahder Hussain.

 

Katanya, Indonesia sebagai pengeluar minyak kelapa sawit terbesar di dunia memberikan pilihan yang menarik untuk pembangunan ini dengan bekalan bahan mentah yang melimpah untuk pengeluaran biogas.

 

"Projek ini memperkuat portfolio tenaga boleh diperbaharui (RE) KAB dan menempatkan kami sebagai penyedia penyelesaian tenaga  untuk memanfaatkan peluang pertumbuhan serantau. 

 

"Setelah siap, loji biogas Aceh akan menjadi satu lagi penjana pendapatan berulang untuk KAB, mengukuhkan kedudukan kami dalam pasaran Asia Tenggara dan menyokong misi kami memacu pembangunan tenaga mampan," katanya dalam kenyataan hari ini.

 

KAB yang telah diiktiraf sebagai penyedia Penyelesaian Tenaga Kelestarian Teratas APAC 2024 sedang mengembangkan kehadirannya secara agresif di ruang RE. 

 

Langkah terbaru untuk memperoleh PT GESO mencerminkan hasrat Kumpulan untuk mengukuhkan kehadirannya dalam pasaran sebagai pemain tenaga tersendiri sambil memastikan kemajuannya dalam pasaran tenaga Asia Tenggara yang berkembang pesat. - DagangNews.com