KAB peroleh loji janakuasa biogas bernilai RM15 juta pertama di Kedah | DagangNews Skip to main content

KAB peroleh loji janakuasa biogas bernilai RM15 juta pertama di Kedah

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 16 Jan - KAB Energy Holdings Sdn Bhd menandatangani perjanjian jual beli saham dengan Future NRG Sdn Bhd untuk mengambil alih keseluruhan ekuiti anak syarikat Future Biomass Gasification Sdn Bhd (FBG) dan aset loji janakuasa biogasnya dengan jumlah pertimbangan sebanyak RM15 juta.

 

KAB memaklumkan, perjanjian terbaharu itu susulan daripada pemeteraian awal lembaran terma mengenai cadangan pemerolehan keseluruhan ekuiti FBG yang diumumkan pada 9 November 2022 dan penyiapan proses usaha wajar.

 

Katanya, FBG memiliki loji janakuasa biogas di Kuala Ketil, Kedah dengan kapasiti terpasang 2.4 megawatt. 

 

"Loji itu menangkap gas rumah hijau yang dibebaskan daripada efluen minyak sawit dan menukarkan gas tersebut kepada elektrik menggunakan penjana enjin biogas yang sangat cekap. 

 

"Tenaga elektrik yang dijana oleh loji janakuasa biogas dibekalkan kepada grid nasional, dan seterusnya ke pekan dan kampung berhampiran di bawah program 'Tarif Feed-In'," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

 

Menurutnya, dengan memperoleh FBG, KAB juga akan mengiktiraf hasil daripada perjanjian pembelian tenaga boleh diperbaharui FBG yang sedia ada (REPPA) dengan Tenaga Nasional Berhad. 

 

REPPA bermula pada 2018 dan berkuat kuasa selama 16 tahun sehingga 2034, katanya.

 

Katanya, pemerolehan FBG disasarkan untuk siap pada suku kedua 2023, dan akan dibiayai oleh gabungan pinjaman bank dan dana yang dijana secara dalaman.

 

"Setelah selesai pemerolehan, segmen Penyelesaian Tenaga Lestari (SES) KAB akan memiliki loji janakuasa biogas pertamanya," katanya.

 

Tambah kenyataan itu, portfolio SES KAB pada masa ini mempunyai sistem solar fotovoltaik, penjanaan bersama dan aset pemulihan haba sisa di Malaysia dan Thailand. - DagangNews.com