KAB raih projek penjanaan biojisim pertama | DagangNews Skip to main content

KAB raih projek penjanaan biojisim pertama

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 13 Julai - Anak syarikat Kinergy Advancement Bhd (KAB), KAB Energy Holdings Sdn Bhd (KABEH) telah memeterai perjanjian utama (HOA) dengan XSD International Paper Sdn Bhd (XSDIP).

 

HOA tersebut adalah untuk memulakan projek biojisim pertama KAB, dengan memberi tumpuan kepada penjanaan kuasa dan wap, kata KAB dalam satu kenyataan media hari ini.

 

Menurut kumpulan itu, projek tersebut membenarkan KABEH untuk membangun, memiliki dan mengendali loji penjanaan turbin stim bahan api biojisim yang boleh menjana sehingga 30MW elektrik dan 80 tan wap sejam.

 

XSDIP terlibat dalam pengilangan pulpa, kertas dan papan kertas, serta memborong pelbagai barangan tanpa sebarang pengkhususan tertentu, 100% dimiliki entiti asing dari China.

 

Mengulas perkongsian ini, Timbalan Pengerusi Eksekutif KAB merangkap Pengarah Urusan Kumpulan, Datuk Lai Keng Onn menzahirkan keterujaan kumpulan itu untuk memulakan usaha niaga tersebut dengan XSDIP, sementara ia mengukuhkan kedudukan rumusan tenaga mampan (SES) di Semenanjung Malaysia melalui projek penjanaan biojisim sulung itu.

 

“Melalui loji itu, kami boleh menjana secara cekap sehingga 30MW tenaga elektrik dan 80 tan wap sejam, bukan sahaja mengurangkan sisa terhasil tetapi juga menggalakkan penggunaan sumber biojisim yang cekap dan bertanggungjawab.

 

"Kami menyasarkan untuk bukan sahaja menjana elektrik melalui penggunaan bahan api biojisim yang diperoleh daripada tandan buah kosong (EFB) dan serpihan kayu, tetapi juga melalui pembakaran gas untuk menjana stim, menyumbang kepada pendekatan neutral gas rumah hijau yang lebih neutral," ujar beliau.

 

Beliau menambah bahawa KAB merancang untuk melaksanakan projek biojisim ini di atas tanah seluas 300 ekar di Kulim, Kedah.

 

Jelasnya, usaha bercita-cita tinggi itu merangkumi pelbagai fasa, dengan pemeteraian HoA ini menandakan permulaan pembangunan kira-kira 2.05 hektar. - DagangNews.com