Kadar inflasi Malaysia kekal 1.5% pada Disember 2023 - DOSM | DagangNews Skip to main content

Kadar inflasi Malaysia kekal 1.5% pada Disember 2023 - DOSM

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 22 Jan - Kadar inflasi keseluruhan Malaysia kekal 1.5% pada Disember 2023 dengan mencatatkan mata indeks 131.2 berbanding 129.2 pada bulan sama tahun sebelumnya, kata Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

 

Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin menjelaskan bahawa inflasi pada Disember 2023 telah didorong oleh peningkatan perlahan restoran dan hotel (3.7%), pelbagai barangan dan perkhidmatan (2.7%) serta makanan dan minuman bukan alkohol (2.3%).

 

Bagaimanapun, kumpulan utama lain yang menunjukkan peningkatan bulan ke bulan adalah kesihatan (2.5%) dan pengangkutan (0.3%).

 

Mohd Uzir berkata, Inflasi keseluruhan secara tahunan pada 2023 pada paras 2.5% berbanding 3.3% dalam 2022, didorong oleh kenaikan kumpulan restoran dan hotel, 5.6 % (2022: 5%); makanan dan minuman bukan alkohol, 4.8% (2022: 5.8%) serta pelbagai barangan dan perkhidmatan, 2.4% (2022: 2%).

 

“Sementara itu, inflasi keseluruhan secara bulanan menunjukkan kenaikan 0.2% berbanding 0% pada November 2023.

 

 

dosm

 

Beberapa kumpulan terus mencatatkan peningkatan, seperti perkhidmatan rekreasi dan kebudayaan (0.4%), makanan dan minuman bukan alkohol (0.3%) dan pengangkutan (0.3%),” ujar beliau dalam satu kenyataan hari ini mengulas tentang Indeks Harga Pengguna (IHP) Malaysia, Disember 2023.

 

Menurut beliau, inflasi teras meningkat lebih perlahan kepada 1.9% pada Disember 2023 berbanding 2% bulan sebelumnya dan masih melepasi inflasi keseluruhan Malaysia (1.5%), didorong oleh kumpulan restoran dan hotel, serta makanan dan minuman bukan alkohol yang masing-masing mencatatkan peningkatan sederhana 3.7% dan 3.2% pada Disember 2023.

 

Bagi inflasi di peringkat negeri, Mohd Uzir berkata kebanyakan negeri merekodkan peningkatan di bawah paras nasional 1.5% dengan enam negeri merekodkan peningkatan melebihi paras inflasi nasional, iaitu Sarawak (2.4%), Putrajaya (2.1%), Perak (1.9%), Pulau Pinang (1.8%), Selangor (1.7%) dan Perlis (1.6%).

 

 

dosm

 

 

Beliau berkata semua negeri mencatatkan peningkatan inflasi makanan dan minuman bukan alkohol, yang tertinggi dicatatkan oleh Pulau Pinang dan Labuan pada 3.3%, diikuti oleh Putrajaya (3.1%), Selangor (3%), Sarawak (2.9%), Pahang (2.9%) dan Perlis (2.3%).

 

“Sementara itu, negeri-negeri lain menunjukkan peningkatan di bawah paras inflasi makanan dan minuman bukan alkohol nasional iaitu 2.3% pada Disember 2023,” tambahnya.

 

Bagi perbandingan dengan negara-negara terpilih, Mohd Uzir berkata inflasi di Malaysia (1.5%) adalah lebih rendah berbanding Filipina (3.9%), Vietnam (3.6%), Amerika Syarikat (3.4%), Republik Korea (3.2%), Zon Euro (2.9%) dan Indonesia (2.6%).

 

Namun, katanya, kadar tersebut lebih tinggi berbanding penurunan inflasi di Thailand (0.8%) dan China (0.3%).  - DagangNews.com