KUALA LUMPUR 13 Feb - Insentif Pengeluaran Getah (IPG) merupakan sebuah bantuan Kerajaan kepada pekebun kecil getah tempatan menangani impak kejatuhan harga getah ke atas pendapatan mereka.
Menurut Kementerian Kewangan, secara tidak langsung, bantuan ini juga memastikan hasil pengeluaran getah negara kekal anjal tidak kira perubahan harga pasaran.
Katanya, namun begitu, bantuan IPG untuk beberapa tahun tidak meningkat mengikuti peredaran kos sara hidup.
"Akibatnya, pekebun-pekebun kecil getah ini hanya menambah beban kepada diri sendiri jika mereka ingin meningkatkan produktiviti.
"Mendengar keluhan para pekebun getah, Kerajaan MADANI telah meningkatkan kadar IPG selama dua tahun berturut-turut bagi memastikan kebajikan mereka terbela.
"Seperti mana diumumkan dalam Belanjawan 2024, paras harga pengaktifan IPF telah ditingkatkan kepada RM3 sekilogram dengan peruntukan RM400 juta," kata Kementerian Kewangan menerusi Facebook hari ini.
IPG mula diperkenal kerajaan pada tahun 2015 dengan tujuan utama bagi membantu meringankan beban pekebun kecil ketika harga getah di pasaran rendah.
Insentif tersebut pada masa sama bertujuan menggalakkan para pekebun untuk terus menoreh bagi meningkatkan pengeluaran getah negara.
Pada 2019, paras harga pengaktifan IPG dinaikkan kepada RM2.50 berbanding RM2.30 tahun sebelumnya.
Namun kadar tersebut kekal untuk tempoh empat tahun hingga menimbulkan rungutan ramai pekebun kecil getah yang berdepan harga komoditi yang rendah.- DagangNews.com