Kadar kemiskinan Malaysia meningkat kepada 8.4% tahun lalu - Mustapa | DagangNews Skip to main content

Kadar kemiskinan Malaysia meningkat kepada 8.4% tahun lalu - Mustapa

Gambar hiasan

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 17 Jun - Kadar kemiskinan di Malaysia meningkat daripada 5.6% pada 2019 kepada 8.4% pada tahun lalu susulan pandemik COVID-19, menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mustapa Mohamed yang memetik kajian Jabatan Perangkaan Malaysia. 

 

Jelas Mustapa, impak pandemik COVID-19 kepada ekonomi Malaysia telah menjejaskan pendapatan rakyat dan menyebabkan lebih banyak isi rumah terdedah kepada kemiskinan, terutamanya dalam kalangan B40 dan golongan rentan.

 

“Insiden kemiskinan telah berkurang bagi semua kumpulan etnik dengan peratusan pengurangan terbesar dicatatkan oleh kaum Bumiputera. 

 

“Bagaimanapun, masih terdapat kelompok kemiskinan dan ketidaksamarataan, serta kemiskinan pelbagai dimensi - kemiskinan dalam konteks yang lebih luas, melibatkan aspek pendapatan dan bukan kewangan merangkumi kesihatan, pendidikan dan kemudahan asas,” katanya dalam satu kenyataan berhubung webinar Matlamat Pembangunan Mampan (SDG), hari ini. 

 

Mustapa Mohamed
Mustapa Mohamed

 

Bertemakan “Bina Kembali: Menangani Kemiskinan dan Mempromosi Pembangunan Inklusif bagi Menghadapi COVID-19”, sebanyak empat kertas telah dibentangkan dalam dua sesi perbincangan webinar berkenaan.

 

Webinar itu bersempena Laporan Sukarela Kebangsaan 2021 (VNR 2021) ke Forum Politik Peringkat Tertinggi Mengenai SDG (HLPF) Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) yang akan diadakan pada 15 Julai 2021. 

 

VNR 2021 bertujuan melaporkan kemajuan SDG di Malaysia bagi tempoh 2016 sehingga 2019/2020 berdasarkan tema yang telah ditetapkan oleh PBB. 

 

Susulan daripada webinar SDG hari ini, Mustapa berkata, beliau akan menubuhkan dan mempengerusikan ‘Poverty Circle’ yang dianggotai oleh wakil-wakil kerajaan, swasta, pertubuhan masyarakat sivil (CSO) dan tokoh-tokoh akademik. 

 

Ini bertujuan membincangkan dan merangka strategi terbaik untuk menangani kemiskinan khususnya ketika pandemik COVID-19, kata beliau lagi.

 

“Pandemik COVID-19 telah memberi kesan terhadap pencapaian SDG, namun ia juga memberi peluang kepada Malaysia untuk menetapkan semula pembangunan negara ke arah masa depan yang lebih makmur, inklusif dan mampan.

 

“Secara keseluruhan, Malaysia telah mencapai kemajuan yang baik terutamanya dalam menangani kemiskinan dan meningkatkan kesejahteraan rakyat. Berdasarkan metodologi Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) 2019, kadar kemiskinan mutlak telah berkurang kepada 5.6% (405,441 isi rumah) pada tahun 2019 berbanding 7.6% (525,743 isi rumah) pada tahun 2016. 

 

“Kadar kemiskinan tegar juga telah berkurang daripada 0.6% (45,004 isi rumah) pada tahun 2016 kepada 0.4% (27,158 isi rumah) pada tahun 2019,” tambah Mustapa. 

 

Ujar beliau, laporan VNR 2021 juga mengetengahkan kejayaan Malaysia dari segi pertumbuhan ekonomi, penjagaan kesihatan awam, kelestarian alam sekitar, keselamatan awam serta hubungan antarabangsa. 

 

Walaupun telah banyak kejayaan dicapai, namun katanya, masih terdapat cabaran yang perlu ditangani bagi memastikan pencapaian Agenda 2030.

 

Sebagai rekod, SDG merupakan rangka tindakan universal yang diperkenal oleh PBB dan diterima pakai oleh semua 193 buah negara anggota, termasuk Malaysia, pada September 2015. 

 

SDG menjadi panduan bagi negara anggota untuk menyusun agenda dan dasar pembangunan masing-masing dalam tempoh 2016 hingga 2030. - DagangNews.com