Sekadar gambar hiasan - Gambar Reuters
Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com
KUALA LUMPUR 11 Ogos - Kadar pengangguran pada tahun 2021 dikhuatiri lebih tinggi daripada tahun lalu pada 4.5%, iaitu paras tertinggi yang dicatatkan sejak 1993 pada kadar 4.1%.
Berdasarkan nota penyelidikan MIDF Research, firma itu buat masa ini mengekalkan unjuran pengangguran 2021 pada kadar 4.3%, namun MIDF tidak menolak kemungkinan ia boleh mencatatkan paras yang lebih tinggi jika pasaran pekerjaan pulih dengan lebih perlahan apabila ekonomi dibuka semula kelak.
Seiring unjuran tersebut, MIDF menjangkakan ia mungkin meningkat pada pertengahan tahun ini terutamanya pada bulan Jun dan Julai 2021 ekoran terjejas akibat ‘lockdown’ yang masih berterusan, penutupan aktiviti perniagaan bukan perlu yang berpanjangan dan perbelanjaan domestik lemah.
“Melangkah ke hadapan, kami menjangkakan kadar pengangguran negara akan terus meningkat memandangkan ‘lockdown’ telah dilanjutkan melebihi 28 Jun. ‘Lockdown’ yang berpanjangan mendatangkan ancaman buat pemulihan pasaran pekerjaan dalam jangka masa pendek, terutamanya buat industri runcit yang dibebankan oleh sekatan dengan berterusan mencatatkan kerugian kerana perbelanjaan pengguna yang lemah.
“Namun, menerusi Pelan Pemulihan Negara (PPN), pembukaan semula perniagaan di beberapa negeri akan mengehadkan peningkatan kadar pengangguran,” jelas MIDF.
Kadar pengangguran di Malaysia kembali meningkat kepada 4.8% pada Jun 2021 dengan 768.7 ribu orang penganggur daripada 4.5% pada Mei 2021, menurut Statistik Tenaga Buruh, Malaysia, Jun dan suku kedua tahun 2021 (2Q21) yang dikeluarkan Jabatan Perangkaan Malaysia (DoSM).
Baca : Kadar pengangguran Malaysia kembali meningkat pada Jun, 4.8%
MIDF yang memetik data Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) mendedahkan jumlah kehilangan pekerjaan meningkat kepada 5,951 pada Julai 2021, kadar yang lebih tinggi daripada Jun 2021 yang berjumlah 5,621.
Menurut firma itu, hampir semua data kehilangan pekerjaan itu berlaku pada tempoh tujuh bulan pertama tahun ini, terutamanya dalam sektor pembuatan serta perdagangan borong dan runcit.
Di sebalik data yang suram itu, MIDF percaya apabila lebih banyak negeri dibenarkan beralih ke Fasa 2 dan 3 PPN, negara dijangka menyaksikan peningkatan aktiviti perniagaan yang bakal menyumbang kepada permintaan pekerjaan lebih tinggi.
“Bantuan kerajaan seperti program subsidi upah dan insentif pengambilan pekerjaan juga akan mengehadkan peningkatan dalam kadar pengangguran ketika tempoh ‘lockdown’ berpanjangan ini.
“Kadar vaksinasi yang memberangsangkan juga dijangka mampu mencapai sasaran imuniti kelompok, dan seterusnya membolehkan pembukaan semula ekonomi terutamanya apabila situasi kesihatan awam bertambah baik dan tekanan ke atas sistem penjagaan kesihatan lebih terurus.
“Dengan kes COVID-19 baharu kekal pada paras yang tinggi, kelewatan untuk keluar daripada ‘lockdown’ dan keyakinan perniagaan yang kian lemah akan memberi kesan buruk terhadap pemulihan pasaran buruh,” tambah MIDF lanjut. - DagangNews.com