KUALA LUMPUR 10 Ogos - Kadar pengangguran pada Jun 2023 mencatatkan penurunan kepada 3.4%, dengan bilangan penganggur terus berkurang kepada 581,700 orang, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).
Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, pasaran buruh negara ini kekal stabil pada Jun 2023, disumbang oleh peningkatan dalam bilangan penduduk bekerja, manakala penganggur berada pada trend menurun, walaupun prospek ekonomi Malaysia diunjur berkembang secara sederhana.
"Oleh itu, bilangan tenaga buruh pada Jun 2023 terus mengukuh sebanyak 0.2% merekodkan 16.89 juta orang berbanding 16.86 juta orang pada Mei 2023.
"Sementara itu, kadar penyertaan tenaga buruh (KPTB) bagi Jun tidak berubah iaitu pada 70%, seperti yang direkodkan bulan lalu," katanya dalam kenyataan di sini.
Mohd Uzir berkata, bilangan penduduk bekerja pada Jun 2023 kekal pada trend positif, dengan peningkatan bulan ke bulan sebanyak 0.2% merekodkan 16.31 juta orang berbanding 16.28 juta orang pada Mei 2023.
Dalam pada itu katanya, bilangan penganggur pada bulan tersebut terus menurun, dengan pengurangan sebanyak 0.5% kepada 581,700 orang berbanding 584,600 orang pada Mei 2023.
"Kadar pengangguran Jun mencatatkan penurunan sebanyak 0.1 mata peratus kepada 3.4% berbanding 3.5% pada Mei 2023," katanya.

Mengulas lanjut mengenai kedudukan guna tenaga, beliau berkata, daripada jumlah penduduk bekerja pada Jun 2023, 75.4% adalah dalam kategori pekerja, yang merekodkan peningkatan sebanyak 0.1% kepada 12.3 juta orang berbanding 12.29 juta pada Mei 2023.
Pada masa yang sama, bilangan penduduk bekerja sendiri juga terus meningkat, dengan peningkatan sebanyak 0.5% mencatatkan 2.95 juta orang berbanding 2.94 juta orang pada Mei 2023.
Mengulas lanjut mengenai situasi pengangguran pada bulan tersebut, Mohd Uzir berkata, penganggur aktif atau mereka yang bersedia untuk bekerja dan aktif mencari pekerjaan, merangkumi 80.3% daripada jumlah penganggur.
Katanya, kategori ini menurun sebanyak 0.8% kepada 466,900 orang berbanding 470,400 orang pada Mei 2023.
"Dalam kalangan penganggur aktif, 61.1% adalah mereka yang menganggur kurang daripada tiga bulan, manakala 6.6% adalah mereka yang berada dalam pengangguran jangka panjang melebihi setahun.

"Manakala, penganggur tidak aktif atau mereka yang percaya bahawa tiada pekerjaan tersedia, mencatatkan peningkatan sebanyak 0.5% kepada 114,800 berbanding 114,200 orang pada Mei 2023," katanya.
Mengulas mengenai prestasi keseluruhan bagi suku kedua 2023, Mohd Uzir berkata, bilangan tenaga buruh terus mencatatkan peningkatan, dengan pertambahan sebanyak 0.5% kepada 16.73 juta orang berbanding 16.65 juta orang pada suku pertama 2023.
"Sehubungan itu, KPTB naik sebanyak 0.2 mata peratus kepada 70% berbanding 69.8% pada suku pertama 2023. Pada masa yang sama, bilangan penduduk bekerja meningkat sebanyak 0.5% kepada 16.15 juta orang pada suku tahun tersebut berbanding 16.06 juta orang pada suku pertama 2023.
"Sementara itu, bilangan penganggur berkurang sebanyak 0.9 peratus kepada 581,400 orang berbanding 586,900 orang pada suku pertama 2023. Kadar pengangguran pada suku kedua 2023 kekal pada
3.5% seperti pada suku tahun sebelumnya," katanya.
Beliau berkata, bilangan penduduk bekerja kurang daripada 30 jam seminggu meningkat sebanyak 2.3% kepada 280,400 orang pada suku tahun ini berbanding 274,200 orang pada suku pertama 2023.
Oleh itu, bilangan penduduk bekerja kurang daripada 30 jam seminggu dan sanggup menerima tambahan jam bekerja atau guna tenaga tidak penuh berkaitan masa, naik sebanyak 6.7% kepada 186,300 orang, mencatatkan kadar guna tenaga tidak penuh berkaitan masa pada 1.2% berbanding 1.1% kepada 174,600 orang pada suku pertama 2023.
"Sementara itu, guna tenaga tidak penuh berkaitan kemahiran, yang merangkumi mereka yang berpendidikan tertiari namun bekerja dalam kategori pekerjaan separuh mahir dan berkemahiran rendah, meningkat sebanyak 0.4% kepada 1.91 juta orang, dengan kadar guna tenaga tidak penuh berkaitan kemahiran sebanyak 37.4% berbanding 37.4% kepada 1.91 juta orang pada suku pertama 2023," katanya. - DagangNews.com








