Kadar pengangguran menurun kepada 4.1% pada Februari 2022 tetapi masih ada sektor kekurangan pekerja | DagangNews Skip to main content

Kadar pengangguran menurun kepada 4.1% pada Februari 2022 tetapi masih ada sektor kekurangan pekerja

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 11 April - Kadar pengangguran di negara ini menurun kepada 4.1% pada Februari 2022 berbanding 4.2% pada Januari 2022 namun sektor pertanian, perlombongan dan kuari terus mencatatkan kekurangan pekerja kerana kebergantungan kepada pekerja asing.

 

Ambank Research berkata, sekitar 44,800 individu diambil bekerja pada Febrari 2022 menjadi jumlah keseluruhan tenaga kerja sebanyak 17.73 juta manakala kadar penyertaan tenaga kerja kekal (LFPR) tidak berubah pada 69.1%.

 

Katanya, mengikut status, 76.6% merupakan pekerja (menurun daripada 76.7% pada Januari 2022), 17% bekerja sendiri (meningkat daripada 16.9%), 3.3% adalah majikan dan 3.1% bekerja dengan keluarga sendiri.

 

"Penurunan kadar pengangguran menunjukkan bahawa lebih ramai orang kembali bekerja akibat kadar vaksinasi yang tinggi serta SOP yang kurang ketat dan sektor perkhidmatan, makanan dan minuman, borong dan runcit serta pengangkutan dan penyimpanan menunjukkan kadar pengambilan pekerja paling tinggi.

 

"Bagaimanapun, sektor pertanian, perlombongan dan kuari terus merekodkan penurunan pekerja kerana mereka kebergantungan terhadap pekerja warga asing.

 

"Pengambilan pekerja dalam sektor pertanian dijangka pulih pada kadar perlahan kerana kebergantungan terhadap pekerja asing manakala penggunaan sistem automasi masih kurang," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

lombong

 

Firma itu berkata, walaupun pekerja asing dibenarkan kembali ke Malaysia namun kadar kelulusan masih rendah dengan sektor perladangan, pembinaan dan pembuatan terkesan dengan Persekutuan Majikan-Majikan (MEF) memberitahu bahawa daripada 475,678 permohonan hanya 2,606 diluluskan sehingga 1 April 2022.

 

Katanya, berdasarkan kepada pasaran buruh semasa, lebih ramai individu berminat untuk bekerja sendiri berbanding diambil bekerja selain persaingan daripada pekerja asing.

 

kuari

 

"Pembukaan semula sempadan antarabangsa dijangka melonjakkan kadar pekerjaan di dalam sektor pelancongan dan sektor berkaitan pelancongan, sektor yang akan yang menyediakan perkhidmatan penginapan, makanan dan minuman, pengangkutan dan agensi pelancongan.

 

"Berdasarkan kepada data Jabatan Perangkaan, anggaran 3.5 juta pekerja terlibat dengan sektor industri pelancongan.

 

"Pada masa sama, pasaran pekerja juga akan memanfaatkan inisiatif kerajaan yang dibentangkan di dalam Bajet 2022 dan kami menjangkakan kadar pengangguran di Malaysia akan menurun kepada 3.9% pada 2022 mengatasi jangkaan Bank Negara Malaysia (BNM) iaitu 4.0%," katanya. - DagangNews.com