Kadar pengangguran November 2023 turun 3.3 peratus, kembali ke paras prapandemik- DOSM | DagangNews Skip to main content

Kadar pengangguran November 2023 turun 3.3 peratus, kembali ke paras prapandemik- DOSM

Pasaran buruh negara menunjukkan momentum pertumbuhan yang stabil untuk tempoh 11 bulan pada 2023. /Gambar FB Perkeso
Oleh M. HERMAN HAMID

KUALA LUMPUR 10 Jan - Kadar pengangguran pada November turun kepada 3.3 peratus dan kembali ke paras prapandemik dengan 569,200 orang penganggur, lapor Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) dalam siaran Statistik Tenaga Buruh Malaysia November 2023.

 

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, prestasi tenaga buruh negara menunjukkan peningkatan pada bulan November 2023, mengisyaratkan pertumbuhan positif ekonomi semasa dengan pertambahan berterusan dalam bilangan penduduk bekerja, manakala pengangguran terus menurun.

 

"Oleh itu, bilangan tenaga buruh terus mencatatkan peningkatan pada bulan November 2023, naik sebanyak 0.2 peratus bulan-ke-bulan kepada 17 juta orang (Oktober 2023: 16.97 juta orang).

 

"Kadar penyertaan tenaga buruh pada November 2023 kekal pada 70.1 peratus, sama seperti pada bulan sebelumnya,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

 

Dr Mohd Uzir berkata, walaupun berdepan dengan cabaran global, struktur ekonomi Malaysia yang pelbagai dan asas yang kukuh telah menyokong pertumbuhan ekonomi yang stabil.

 

"Oleh itu, pasaran buruh negara juga menunjukkan momentum pertumbuhan yang stabil untuk tempoh 11 bulan pada 2023, dengan peningkatan dalam bilangan penduduk bekerja dan pengangguran yang semakin berkurangan sehingga mengembalikan kadar pengangguran ke paras prapandemik," kata Ketua Perangkawan itu.

 

Menurut Dr Mohd Uzir, bilangan penduduk bekerja pada bulan November 2023 terus meningkat dengan pertambahan sebanyak 0.2 peratus bulan-ke-bulan, mencecah kepada seramai 16.43 juta orang berbanding bulan sebelumnya (Oktober 2023: 16.4 juta orang). 

 

Sebaliknya bilangan penganggur pada November 2023 terus menunjukkan penurunan, dengan pengurangan sebanyak 0.3 peratus kepada 569,200 orang (Oktober 2023: 570,900orang). 

 

DOSM 1
Infografik DOSM berhubung Statistik Tenaga Buruh Malaysia, November 2023.

 

"Kadar pengangguran pada bulan tersebut turun kepada paras prapandemik iaitu 3.3 peratus berbanding 3.4 peratus yang direkodkan pada bulan lalu," jelasnya.

 

Menjelaskan lebih lanjut mengenai situasi guna tenaga, Dr Mohd Uzir berkata, daripada jumlah bilangan penduduk bekerja pada bulan November 2023, 75.3 peratus berada dalam kategori pekerja. 

 

"Kategori ini mencatatkan sedikit peningkatan iaitu sebanyak 0.1 peratus kepada 12.37 juta orang (Oktober 2023: 12.35 juta orang). 

 

"Pada masa yang sama, kategori penduduk bekerja sendiri berada dalam trend menaik, meningkat sebanyak 0.3 peratus kepada 2.99 juta orang (Oktober 2023: 2.99 juta orang)," katanya.

 

Menurut Dr Mohd Uzir, mereka yang bersedia untuk bekerja dan aktif mencari pekerjaan atau penganggur aktif, merangkumi 79.9 peratus daripada jumlah penganggur.

 

uzir
Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin.

 

"Kategori ini turun sebanyak 0.6 peratus kepada 454,500 orang (Oktober 2023: 457,200 orang). Mengikut tempoh pengangguran bagi penganggur aktif, 61.8 peratus adalah mereka yang menganggur kurang daripada tiga bulan, sementara 6.3 peratus merupakan mereka yang berada dalam pengangguran jangka panjang melebihi setahun.

 

"Penganggur tidak aktif atau mereka yang percaya bahawa tiada pekerjaan tersedia, meningkat sebanyak 0.8 peratus kepada 114,700 ribu orang (Oktober 2023: 113,800 orang)," jelas beliau.

 

Kadar pengangguran bagi belia berumur 15 hingga 24 tahun berkurang sebanyak 0.1 mata peratus kepada 10.6 peratus pada November 2023, mencatatkan seramai 308,500 penganggur belia.

 

Begitu juga, kadar pengangguran bagi belia berumur 15 hingga 30 tahun turun sebanyak 0.1 mata peratus kepada 6.5 peratus, dengan bilangan penganggur belia seramai 432,000 orang.- DagangNews.com