Kakitangan Proton divaksin mulai hari ini | DagangNews Skip to main content

Kakitangan Proton divaksin mulai hari ini

SALAH seorang kakitangan Proton di Tanjung Malim telah menerima dos pertama bagi vaksin COVID-19.

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 12 Julai - Proton memulakan proses vaksinasi bagi semua kakitangannya mulai hari ini. 

 

Pekerja yang bertempat di Tanjung Malim dan Shah Alam, yang masih belum lagi divaksin akan menerima temu janji melalui aplikasi MySejahtera, menurut Proton dalam satu kenyataan.

 

Program itu akan berlangsung selama beberapa hari bagi memastikan kesemua yang mendaftar akan memperoleh vaksin untuk dos pertama mereka.

 

Bagi mempercepatkan usaha vaksinasi di Tanjung Malim, syarikat telah bekerjasama dengan pihak berkuasa di peringkat negeri dan Persekutuan untuk menjadikan kompleks sukan sebagai pusat pemberian vaksin industri (PPVIN). 

 

Proton
PROTON bekerjasama dengan pihak berkuasa untuk menjadikan kompleks sukan sebagai PPVIN.

 

“Dengan kapasiti maksimum harian lebih kurang 800 orang, PPVIN tersebut akan beroperasi selama enam hari bagi memastkan warga Proton serta pembekal yang berada di sana mendapat vaksin mereka. 

 

“Bagi kakitangan di Shah Alam pula, mereka akan mendapat vaksin mereka di Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC) kerana kekangan ruang yang besar dan syarat pematuhan prosedur operasi standard (SOP) diperlukan oleh Proton untuk mewujudkan pusat pemberian vaksin (PPV) sementara," jelas Proton.

 

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Proton, Dr. Li Chunrong berharap dengan proses vaksinasi warga kerjanya akan membantu mengurangkan jangkitan COVID-19 di Malaysia.

 

Dengan inisiatif sama dari syarikat lain, katanya, ia mampu meghidupkan semula industri automatif yang terhenti seketika semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan. 

 

Ujar beliau lagi, dengan permulaan hari ini, proses vaksinasi itu akan diulangi semula tiga minggu kemudian bagi warga Proton mendapatkan dos kedua mereka. 

 

Syarikat menjangkakan kebanyakan kakitangan mereka akan mendapat vaksin penuh menjelang pertengahan Ogos. - DagangNews.com