KUALA LUMPUR 7 Julai - Kapal Mero 3 terapung, pengeluaran, penyimpanan dan pemunggahan (FPSO) yang sedang dibina oleh MISC Bhd untuk Petrobras kekal mengikut jadual untuk dihantar pada Mei 2024.
AmInvest Research berkata kemajuan pembinaan kapal tersebut masih di landasan yang baik dan sebelum ini telah siap mencapai 90% (daripada 85% pada akhir suku pertama tahun kewangan 2023 (1QFY23)).
Berikutan perjumpaan dengan pengurusan MISC semalam, firma penyelidikan itu difahamkan bahawa kumpulan tersebut tetap berminat untuk melupuskan sebahagian kepentingan dalam Mero 3 sebaik sahaja kapal itu memulakan penyewaan pada akhir 2024.
Jelasnya, pihak pengurusan menjangkakan kapal itu akan memperoleh penilaian menarik sejurus melaksanakan permulaan penyewaan yang akan menghasilkan pulangan lebih baik kepada kumpulan untuk menangani risiko pembinaan terdahulu.
“Lebih positif lagi, pihak pengurusan mendedahkan bahawa bakal pembeli telah menyatakan minat untuk mengambil alih sebahagian kepentingan dalam FPSO tersebut, membayangkan kemungkinan peningkatan pantas dalam kunci kira-kira MISC menjelang akhir 2024,” kata firma itu dalam nota penyelidikan hari ini.
Selain itu, AmInvest Research berkata pengurusan MISC kekal komited untuk meminimumkan risiko aset yang terkandas disebabkan armada kapal tangki petroleum dan pembawa gas asli cecair mungkin menjadi usang dalam jangka panjang memandangkan penggunaan minyak menurun disebabkan oleh peralihan tenaga.
Tambahnya, kumpulan itu bergantung kepada pelbagai peluang dalam ruang penangkapan dan penyimpanan karbon (CCS) untuk membina operasi berkaitan penyahkarbonan, namun, kumpulan itu percaya minyak dan gas akan kekal relevan sekurang-kurangnya pada dekad akan datang.
Pihak pengurusan MISC turut menjangkakan pasaran kapal tangki petroleum kekal ketat memandangkan buku pesanan kapal binaan baharu terendah pernah direkodkan.
Selain itu, MISC juga memerhatikan saiz ‘armada bayangan’ semakin mengecil dalam pasaran yang boleh mendorong lagi kadar sewa dalam jangka pendek hingga sederhana, di mana perniagaan ini dianggarkan menyumbang 10% daripada kapal tangki mentah dunia.
Beberapa sumber sebelum ini melaporkan bahawa Rusia telah meningkatkan armada bayangannya sejak akhir 2022 untuk mengelakkan had harga minyak yang dikenakan oleh negara G7.
Menurut firma itu, MISC berhasrat mengekalkan purata nisbah terma-kepada-harga (TSR) bahagian petroleum dan penghantaran produk hampir kepada julat sasaran 70% sehingga 80% dalam usaha membina aliran pendapatan berulang yang berdaya tahan.
Oleh itu, AmInvest Research mengekalkan unjuran pendapatan dan saranan ‘pegang’ dengan nilai saksama (FV) pada RM7.79 sesaham.
Pada waktu penulisan, saham MISC turun 4 sen atau 0.^% kepada RM7.02, menilai modal pasarannya pada RM31.3 bilion. - DagangNews.com