KAPB umum dividen 8%, RM2 bilion saham baharu | DagangNews Skip to main content

KAPB umum dividen 8%, RM2 bilion saham baharu

Ilyas Mohamed
 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 10 Mei - Koperasi Amanah Pelaburan Berhad (KAPB) bersetuju untuk membayar pulangan dividen sebanyak 8% kepada anggotanya bagi tahun kewangan 2020. 

 

Perkara itu telah diumumkan pada 8 Mei 2021 semasa Mesyuarat Agung Tahunannya. 

 

“Pembayaran dividen tersebut akan dilakukan serta-merta kepada semua pemegang saham,” jelas Pengerusi Eksekutif KAPB, Datuk Ilyas Mohamed dalam satu kenyataan hari ini. 

 

Dalam masa sama, koperasi berkenaan turut menawarkan RM2 bilion saham baharu untuk dilanggan oleh anggota sedia ada dan juga baharu yang terbuka kepada semua warganegara Malaysia. 

 

Jelas KAPB, setiap anggotanya akan menikmati pulangan sekurang-kurangnya sebanyak 8% setahun berdasarkan risiko terlaras ke atas petunjuk pelaburan (Evidence Based Investments) dan kajian impak menurut rekod pulangan pelaburannya yang tinggi selama ini. 

 

Sebahagian daripada dana terkumpul tersebut akan digunakan untuk membiayai pembelian 51% pegangan ekuiti pemilikan The Exchange 106.

 

Bangunan tertinggi di Asia Tenggara itu mempunyai anggaran nilai pasaran semasa yang mencecah RM7 bilion.

 

Manakala, sebahagian lagi bertujuan membiayai projek pembinaan dan pembangunan sebuah universiti perubatan dan sebuah hospital baharu di atas tanah seluas 141 ekar yang terletak di Serdang, Selangor.

 

Hospital itu bakal menempatkan kapasiti 400 buah katil serta universiti perubatan berkenaan pula akan bertunjangkan teknologi canggih dan terkini dari Amerika Syarikat (AS).

 

Tambah KAPB, mereka yang berminat boleh membuat permohonan untuk menjadi anggota KAPB dengan melayari laman sesawangnya atau hadir ke cawangan CIMB yang berdekatan di seluruh negara untuk membuka akaun dan membuat permohonan tersebut. 

 


“Tawaran ini akan ditutup sebaik sahaja saham sebanyak RM2 bilion tersebut telah dilanggan sepenuhnya. Oleh itu, kepada warga Malaysia yang berminat, perlulah bertindak sebelum terlambat. Untuk membuat permohonan sila ke sesawang KAPB di http://online.kapb.com.my/registration_member.asp,” tambah Ilyas. - DagangNews.com