Kartel beras: MyCC nafi siasat, tapi akui bakal bertemu Ketua Pengarah Kawal Selia Padi dan Beras | DagangNews Skip to main content

Kartel beras: MyCC nafi siasat, tapi akui bakal bertemu Ketua Pengarah Kawal Selia Padi dan Beras

MyCC akan mengadakan pertemuan dengan Kawal Selia Padi dan Beras (KPB) pada 19 Januari depan berhubung industri padi dan beras. - Gambar DagangNews2023
Oleh M. HERMAN HAMID

KUALA LUMPUR 10 Jan - Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) menafikan telah menyiasat mana-mana pihak dalam industri padi dan beras negara berhubung hal berkait kartel beras.

 

Suruhanjaya itu memberikan respons tersebut susulan laporan berita sebuah media yang mendakwa MyCC menyiasat kartel beras dengan memetik kenyataan Ketua Pengarah Kawal Selia Padi dan Beras (KPB), Datuk Azman Mahmood.

 

MyCC dalam kenyataan itu berkata, mereka setakat ini belum menerima sebarang maklumat daripada mana-mana pihak terutama KPB yang merupakan agensi di bawah Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM).

 

"Walau bagaimanapun, kami mengeshkan akan mengadakan pertemuan dengan KPB pada 19 Januari depan," kata suruhanjaya itu hari ini.

 

MyCC dalam kenyataan itu menekankan telah menulis surat kepada KPB pada Oktober lalu menyatakan kesediaan untuk memahami dan membincangkan isu-isu berkaitan industri padi dan beras supaya dapat memberikan input, termasuk sebarang kebimbangan berkaitan persaingan jika ada.

 

Sehubungan itu, MyCC turut mengingatkan media berhati-hati sambil menambah KPB telah mengeluarkan kenyataan rasmi pada 4 Januari bahawa tiada isu persaingan berkaitan padi dan industri beras.

 

mycc

 

Selepas bertindak ke atas lima syarikat utama kerana membentuk “kartel makanan ayam” untuk menetapkan harga, pelbagai pihak melahirkan harapan supaya MyCC dapat menyiasat sektor lain yang didakwa turut dibelenggu kartel.

 

Ini terutama berkait sektor padi dan beras yang sering dikaitkan dengan peranan kartel sehingga menekan para pesawah.

 

Bagaimanapun, KPKM yang bertanggungjawab dalam sektor tersebut dalam kenyataan minggu lalu menafikan dakwaan kewujudan kartel atau "mafia" yang menentukan harga padi, beras dan benih padi di negara ini.

 

KPKM menjelaskan industri padi dan beras negara dikawal selia oleh KPB melalui Akta Kawalan Padi dan Beras 1994 (Akta 522) dan menerusi akta itu, kementerian melaksanakan aktiviti kawal selia melalui pelesenan dan penguatkuasaan untuk memastikan industri padi dan beras berkembang secara sihat dan teratur.

 

Pengerusi Gabungan Pengilang-Pengilang Beras Malaysia Marzukhi Othman sebelum ini dilaporkan mendakwa wujudnya kartel atau "mafia" padi yang dimonopoli empat hingga lima syarikat besar sejak sekian lama dan telah mencorak hala tuju industri padi negara sehingga tercetusnya isu benih padi yang berlarutan setiap musim serta masalah bekalan beras.- DagangNews.com