Katak berpotensi bantu pemuliharaan ekosistem alam sekitar - penyelidik UPM | DagangNews Skip to main content

Katak berpotensi bantu pemuliharaan ekosistem alam sekitar - penyelidik UPM

'Katak Serasah Mata Hitam' atau nama saintifiknya, 'Leptobrachium Nigrops' biasanya dijumpai dalam habitat hutan yang rata atau berbukit dan juga di kawasan paya.
Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 15 Nov - Katak dipilih sebagai haiwan kajian berikutan ia penting dalam ekosistem alam sekitar dan memainkan peranan besar kepada kehidupan manusia, menurut Pensyarah Ekologi dan Pengurusan Hidupan Liar Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Madya Dr Marina Mohd. Top @ Mohd Tah.

 

Beliau berkata, kumpulan haiwan amfibia Anura (katak) dipilih sebagai bidang kajian kerana katak adalah haiwan liar yang aktif pada waktu malam.

 

Katanya, haiwan itu memikat hatinya kerana ianya jarang ditemui dan perlu ke habitat hutan, bukit atau paya untuk melihat sendiri keunikan pada kata-katak itu yang tidak boleh ditemui ditempat lain.

 

"Seringkali kita semua terserempak dengan katak pada waktu malam, dan dendangan irama suara katak pada musim hujan membuatkan jiwa saya nekad untuk menjadi penyelidik haiwan ini.

 

"Bukan itu sahaja, bunyi hujan dan katak adalah bunyi alam yang menjadi terapi minda di waktu malam hari buat saya. Bunyi-bunyi alam ini memberikan getaran yang positif dan berhubungan dengan emosi. 

 

"Oleh itu, semasa melakukan penyelidikan di dalam hutan pada waktu malam, ia lebih tenang ketika mendengar bunyi alam semulajadi," katanya dalam kenyataan media di sini, hari ini.

 

Marina berkata, sebagai seorang penyelidik yang mengkaji habitat katak juga bercita-cita melakukan pemuliharaan habitat itu di Malaysia. 

 

 

upm
Prof Madya Dr Marina Mohd. Top @ Mohd Tah bercita-cita menjalankan pemuliharaan habitat katak di Malaysia. 

 

 

Katanya, ia kerana banyak spesies katak terancam berikutan tahap kesihatan alam sekitar yang mempunyai hubungan signifikan terhadap populasi katak.

 

"Saya seorang yang aktif pada waktu malam. Mungkin disebabkan itu saya memilih haiwan ini kerana sifat katak itu sendiri juga membuatkan saya mempelajari dan mengenali haiwan ini dengan hati yang sangat terbuka," katanya.

 

Katanya, usaha itu serba sedikit dapat melindungi habitat dan mengurangkan kesan buruk akibat alam sekitar yang terganggu kepada katak dan mengakibatkan kematian dan banyak spesies yang akan pupus pada masa hadapan.

 

 

upm
Menurut Marina, terdapat lebih 42 spesies katak berjaya ditemui di Hutan Simpan Ayer Hitam, Puchong (HSAH), Selangor.

 

 

Marina merupakan ahli zoologi yang mengkaji haiwan liar di Malaysia, dan sepanjang melakukan penyelidikan, beliau berjaya merekodkan pelbagai spesies katak yang jarang ditemui di Malaysia.

 

"Alhamdulillah, sepanjang menjadi penyelidik haiwan amfibia di UPM, terdapat lebih 42 spesies katak berjaya ditemui di Hutan Simpan Ayer Hitam, Puchong (HSAH), Selangor. 

 

 

upm

 

 

"Salah satu katak yang berjaya ditemui di HSAH adalah 'Katak Lekit Tanah Rendah'. Spesies ini yang hanya terdapat di Semenanjung Malaysia ini biasanya menghabitat kawasan hutan tanah rendah dan spesies ini di bawah status pemuliharaan terancam (IUCN 2018)," ujarnya.

 

Tambahnya, beliau berharap semua orang menilai dan memelihara setiap lingkungan halaman kediaman kita daripada tercemar kerana katak dan manusia berkongsi kediaman yang sama.

 

"Kehadiran katak di kediaman kita bergantung pada tahap kebersihan dan kesejahteraan persekitaran untuk katak meneruskan kehidupan," katanya. - DagangNews.com