KUALA LUMPUR 19 Julai - Anggaran awal Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) menujukkan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) Malaysia berkembang 5.8% pada suku tahun kedua 2024, meningkat daripada 4.2% pada suku tahun sebelumnya.
Menurut DOSM, pertumbuhan yang dicatatkan ini adalah yang tertinggi semenjak suku keempat 2022 (7.4%).
Katanya, bagi separuh pertama tahun 2024, KDNK meningkat 5.0% berbanding 4.1% pada tempoh yang sama tahun sebelumnya.
"Ekonomi Malaysia dijangka mengekalkan momentum pertumbuhannya, disokong oleh faktor domestik dan eksport dengan prospek positif untuk baki tempoh tahun ini.
"Peningkatan perbelanjaan penggunaan isi rumah dirangsang oleh musim perayaan dan cuti sekolah serta pembayaran Sumbangan Tunai Rahmah (STR) Fasa 2 pada April 2024.
"Tambahan lagi, sejumlah RM6.98 bilion telah dikeluarkan daripada Akaun 3 (Akaun fleksibel) Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) setakat Jun 2024 untuk menyokong keperluan kewangan jangka pendek," katanya dalam kenyataan media hari ini.

Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, anggaran pertumbuhan yang dicatatkan pada suku kedua ini adalah sejajar dengan indicator terkini seperti Indeks Pengeluaran Perindustrian yang masing-masing meningkat 6.1% dan 2.4% pada April dan Mei 2024 berbanding tahun sebelumnya.
ARTIKEL BERKAITAN: Permintaan domestik, pemulihan eksport dorong pertumbuhan ekonomi pada suku pertama 2024- DOSM
Sementara itu, katanya, nilai jualan borong dan runcit meningkat 6.6% pada April dan 7.1% pada Mei berdasarkan asas tahun ke tahun. Bagi sektor luaran, jumlah perdagangan, eksport dan import mengalami peningkatan berbanding tempoh yang sama tahun sebelumnya.
"Faktor lain termasuk peningkatan ketibaan pelancong serta pengeluaran kelapa sawit dan kemajuan pembangunan projek mega,” jelas beliau.

Menurutnya, pengiraan anggaran KDNK awalan suku tahun pertama 2024 adalah berdasarkan kepada gabungan sumber data yang tersedia.
"Secara umumnya, terdapat perbezaan antara anggaran KDNK awalan dan KDNK sebenar disebabkan oleh ketersediaan data dari pelbagai sumber semasa tempoh penyusunan," jelasnya.
Seterusnya Dr Mohd Uzir menjelaskan, prestasi ekonomi pada suku tahun ini dipacu oleh sektor Perkhidmatan, dengan hampir semua sektor utama menunjukkan pertumbuhan yang lebih baik berbanding suku tahun sebelumnya.

Jelas beliau, sektor Perkhidmatan terus meningkat kepada 5.6 peratus (ST1 2024: 4.7%), disokong oleh subsektor Perdagangan borong & runcit, Pengangkutan & penyimpanan dan Kewangan & insurans.
Katanya, sektor Pembuatan meningkat kepada 4.7 peratus daripada 1.9 peratus pada suku tahun sebelumnya, disokong oleh pertumbuhan dalam semua subsektor, terutamanya Produk mineral bukan logam, logam asas & produk logam yang direka dan Produk petroleum, kimia, getah & plastik.
"Di samping itu, sektor Pembinaan kekal dengan pertumbuhan dua digit, 17.2 peratus (ST1 2024: 11.9%) yang didorong oleh prestasi yang kukuh dalam semua subsektor, terutamanya Kejuruteraan awam dan Aktiviti pembinaan pertukangan khas," ujarnya.
Beliau menambah, “Sektor Pertanian meningkat 7.1 peratus (ST1 2024: 1.6%) pada suku tahun ini, disumbangkan oleh pertumbuhan yang memberangsangkan dalam subsektor Kelapa sawit.
"Sementara itu, sektor Perlombongan dan pengkuarian bertumbuh perlahan kepada 3.3 peratus berbanding 5.7 peratus pada suku tahun sebelumnya, disebabkan oleh subsektor Gas asli yang menyederhana," katanya.- DagangNews.com








