KDNK suku keempat 2023 diunjur 3.3%, lebih rendah daripada anggaran awal – Maybank IB | DagangNews Skip to main content

KDNK suku keempat 2023 diunjur 3.3%, lebih rendah daripada anggaran awal – Maybank IB

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 14 Feb - Maybank Investment Bank (Maybank IB) menjangkakan keluaran dalam negara kasar (KDNK) suku keempat 2023 meningkat 3.3% tahun ke tahun, sama seperti yang dicatat pada suku sebelumnya.

 

Bagaimanapun, kata firma penyelidikan itu, unjuran berkenaan adalah lebih rendah daripada anggaran KDNK awalan 3.4% yang dilaporkan pada 19 Januari 2024.

 

Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) akan menerbitkan laporan KDNK sebenar bagi suku keempat 2023 pada Jumaat ini (16 Februari).

 

Maybank IB berkata, anggaran KDNK suku keempat itu dibuat berdasarkan Indeks Pengeluaran Perindustrian yang berkembang semula 1%, peningkatan pengeluaran minyak sawit mentah sebanyak 3.2%, serta pertumbuhan sederhana dalam Indeks Perkhidmatan (4.1%) dan Nilai Kerja Pembinaan (6.8%).

 

“Berdasarkan data pengeluaran dan aktiviti sektor ekonomi utama, kami menganggarkan pertumbuhan KDNK suku keempat pada 3.3%, hanya sedikit rendah daripada anggaran awalan 3.4% yang dikeluarkan pada 19 Januari 2024 berdasarkan data Oktober hingga November 2023.

 

“Kami menganggarkan penguncupan 0.2% dalam sektor pembuatan dan sektor perkhidmatan meningkat lebih rendah pada 4.5%, yang mengimbangi unjuran pertumbuhan lebih tinggi dalam pertanian (1.5%) perlombongan (4.3%) dan pembinaan (4.9%),” katanya dalam nota penyelidikan hari ini.

 

 

 

 

Maybank IB berkata, Indeks Pengeluaran Perindustrian yang melantun semula kepada 1% pada suku keempat menandakan trend sama dalam perlombongan yang meningkat 4.3 serta peningkatan tenaga elektrik (4.9%) walaupun sektor pembuatan tidak stabil pada suku tersebut, menurun 0.2%.

 

Sementara itu, pengeluaran pembuatan kekal lembap berikutan penguncupan selanjutnya sebanyak 2.8% dalam industri berorientasikan eksport, manakala industri berorientasikan domestik berkembang 4.2%.

 

Terdahulu, DOSM menjangkakan ekonomi negara berkembang 3.4% pada suku ketiga dan berdasarkan anggaran awal itu, jabatan itu mengunjurkan KDNK keseluruhan 2023 berkembang sederhana 3.8% berbanding 8.7% bagi 2022.

 

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, sektor perkhidmatan menjadi peneraju prestasi ekonomi pada suku keempat 2023 dengan semua sektor lain mencatat pertumbuhan positif.

 

Menurut beliau, sektor perkhidmatan meningkat sebanyak 4.7% (berbanding anggaran Maybank IB pada 4.1%) pada suku tahun keempat 2023 disokong oleh subsektor perdagangan borong dan runcit; pengangkutan dan penyimpanan serta perkhidmatan perniagaan. - DagangNews.com