Oleh ZUNAIDAH ZAINON
[email protected]
KUALA LUMPUR 7 Okt. - MIDF Research mengekalkan saranan 'beli' ke atas saham Unisem (M) Bhd. berikutan kedudukannya yang kukuh untuk meraih pertumbuhan dalam industri semikonduktor.
Ia juga meletakkan harga sasaran ex-bonus pada RM5 berbanding sebelum itu RM10, selepas harga saham Unisem mengalami ex-bonus issue semalam berikutan terbitan 806.5 juta saham bonus.
Ini berikutan pada 22 September lalu, Unisem mengumumkan terbitan bonus saham satu kepada satu yang dilaksanakan untuk menghargai pemegang saham sedia ada dan tidak mengubah asas syarikat.
"Walaupun begitu, kami positif dalam isu bonus ini memandangkan terbitan bonus dapat meningkatkan bilangan saham Unisem dan kecairan dagangan sahamnya," katanya dalam nota kajian hari ini.
Menurut MIDF Research, kumpulan sebaliknya telah mempamerkan prestasi yang baik tahun ini selepas yang dapat dilihat dalam laporan kewangannya bagi separuh pertama 2021.
Malah, firma itu juga yakin Unisem berada dalam kedudukan yang kukuh untuk memanfaatkan kelebihan pengembangan teknologi 5G dan internet segala-galanya.
"Di samping itu, kami juga berpendapat, kerjasama strategik dengan Tianshui Huatian Technology Co. Ltd. (TSHT) akan terus meningkatkan pengembangan operasi kumpulan dengan mengambil kira kedudukan kukuh TSHT dalam industri semikonduktor di China serta kepakaran dan tekologi yang dimiliki TSHT.
"Pada masa sama, Unisem juga merancang untuk memperluaskan asas pelanggannya menerusi pelan pengembangan Unisem Chengdu di China," jelasnya.
Dengan mengambil kira semua faktor ini, MIDF Research tidak membuat sebarang perubahan terhadap unjuran pendapatan memandangkan terbitan bonus tidak menjejaskan asas Unisem.
Setakat 9.24 pagi ini, saham Unisem menokok 7 sen atau 1.69% kepada RM4.22 dengan 222,500 saham diniagakan. - DagangNews.com