Kehadiran IJM bersama Alstom beri jaminan projek aerotrain KLIA siap mengikut jadual - RHB Investment | DagangNews Skip to main content

Kehadiran IJM bersama Alstom beri jaminan projek aerotrain KLIA siap mengikut jadual - RHB Investment

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 18 Jan - RHB Investment menjangkakan kehadiran IJM Corp Berhad bersama Alstom Transport Systems (Malaysia) Sdn. Bhd. memberikan jaminan bahawa projek Penggerak Penumpang Automatik (APM) atau aerotrain di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) siap sepenuhnya pada akhir suku pertama 2025.

 

Katanya, IJM merupakan rakan kongsi yang boleh dipercayai dalam melaksanakan projek APM itu berdasarkan pengalamannya dalam bidang berkaitan.

 

"Ia merupakan projek ketiga berkaitan pengangkutan IJM yang diperoleh pada FY24 selepas Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) dan projek Transit Pantas Autonomi Kuching.

 

"Kejayaan projek terbaharu bernilai RM106 juta itu menyaksikan mereka berjaya mendapatkan kontrak bernilai RM2.9 bilion sehingga kini dan berada di landasan tepat untuk memenuhi unjuran pertambahan projek sebanyak RM4 bilion bagi FY24.

 

"Kadar tempahan IJM kini berkembang kepada RM6.5 bilion dan bagi projek berkenaan, kami menjangkakan kumpulan itu meraih margin keuntungan sebelum cukai sebanyak 8%," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

ARTIKEL BERKAITAN: MAHB: Alstom, IJMC-Pestech JV hidupkan semula projek penggantian aerotrain KLIA

 

Terdahulu, Pestech meraih projek aerotrain bernilai RM743 juta pada Disember 2021 sebelum ditamatkan sebagai kontraktor pada Ogos 2023.

 

Penamatan itu berlaku apabila projek APM sudah 37% siap, yang diterjemahkan kepada baki kerja tertunggak pada RM470 juta.

 

RHB Investment berkata, dengan mengandaikan kontrak untuk Alstom adalah berasingan daripada IJMC-Pestech JV, ini mungkin bermakna nilai kerja terkumpul sebanyak RM176 juta dan RM456 juta yang diberikan kepada IJM-PESTECH JV dan Alstom adalah 30% lebih tinggi daripada nilai pekerjaan tertunggak projek itu.

 

Selain itu katanya, IJM-PESTECH JV juga berada di bawah konsortium dengan Alstom yang merupakan pengeluar peralatan asal untuk projek yang sama.

 

"Alstom akan mengambil sebahagian besar skop kerja projek - sebagai peneraju penyelarasan projek - untuk kontrak bernilai RM456 juta selepas mempertimbangkan pertimbangan tukaran mata wang asing, kos pegangan faedah, dan perbelanjaan mobilisasi semula," katanya.

 

Firma penyelidikan itu mengekalkan saranan 'beli' dengan harga sasaran RM2.47 sesaham. - DagangNews.com