Kehadiran pelancong di Sarawak susut 68.8% | DagangNews Skip to main content

Kehadiran pelancong di Sarawak susut 68.8%

Sarawak

KUALA LUMPUR 13 Nov. - Jumlah kehadiran pelancong di Sarawak menyaksikan penyusutan sebanyak 68.8% kepada 1.17 juta orang bagi tempoh Januari hingga Oktober 2020.

Jumlah itu lebih rendah berbanding 3.76 juta orang untuk tempoh sama 2019.

Timbalan Ketua Menteri Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, sektor pelancongan merupakan antara sektor ekonomi yang terjejas teruk berikutan impak pandemik COVID-19 hingga mengakibatkan kemerosotan yang tidak pernah dialami sebelum ini.

"Tidak seperti sektor lain, pelancongan memerlukan tempoh lebih panjang untuk pulih susulan penutupan sempadan dan sekatan perjalanan.

"Perbelanjaan pelancong susut 69.8% kepada RM2.82 bilion daripada RM9.34 bilion bagi tempoh yang sama.

“Menjelang akhir 2022, Sarawak menjangkakan ketibaan pelancong seramai 1.2 juta, penurunan 76% daripada sasaran awal yang dibuat sebelum pandemik berlaku iaitu sebanyak lima juta orang,” katanya ketika menyampaikan ucapan penggulungan pada hari terakhir persidangan Dewan Undangan Negeri hari ini, lapor BERNAMA.

Tambah beliau, sektor pelancongan negeri diunjur mencatatkan pemulihan secara perlahan pada 2021 dengan jangkaan ketibaan pelancong berjumlah 1.4 juta orang.

 

Sarawak

 

Angaran perbelanjaan pelancong untuk tempoh itu berjumlah RM3.5 bilion.

Mengulas berkaitan impak pandemik di negeri berkenaan, beliau memberitahu, Kementerian Pelancongan negeri telah mengambil beberapa langkah untuk mengurangkan impak pandemik dan membantu menggiatkan semula industri pelancongan.

"Langkah tersebut adalah seperti respon terhadap situasi semasa dengan pantas menerusi penelitian semula strategi pemasaran untuk menjuruskan inisiatif promosi dan pemasaran kepada pelancongan domestik.

"Lembaga Pelancongan Sarawak memulakan kempen perjalanan dalam negeri, 'Sia Sitok Sarawak', yang mengetengahkan 30 pakej pelancongan dari Kuching, Sibu, Mukah, Bintulu, Miri dan Mulu pada harga berpatutan dengan memberikan potongan 50% untuk mendorong warga Sarawak melancong dalam negeri sendiri,” katanya.

Kementerian Pelancongan negeri bersama dengan Unit Perancang Ekonomi Negeri Sarawak juga telah memulakan kajian bagi Pelan Induk Pelancongan Sarawak Ketiga untuk merangka hala tuju masa hadapan industri pelancongan negeri untuk pulih daripada kesan COVID-19.

Antara bidang yang diberi tumpuan adalah seperti pembangunan kemudahan dan infrastruktur pelancongan bagi produk eko-pelancongan khusus Sarawak yang melibatkan antaranya taman negeri, pantai dan air terjun.

Tumpuan pembangunan itu turut menekankan kepada aspek memelihara, memulihara dan mempromosikan sejarah, budaya dan warisan Sarawak yang unik melalui muzium, kota, bangunan warisan dan tapak arkeologi. - DagangNews.com