Kejatuhan ringgit membimbangkan tetapi perlu ambil kira pandangan menyeluruh, kata PM Anwar | DagangNews Skip to main content

Kejatuhan ringgit membimbangkan tetapi perlu ambil kira pandangan menyeluruh, kata PM Anwar

Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika menyampaikan ucaptama pada pelancaran Tun Razak Exhange sebagai Pusat Kewangan Antarabangsa Malaysia pada 23 Februari 2024. - Gambar Bernama

KUALA LUMPUR 23 Feb - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kejatuhan mata wang ringgit ke paras terendah dalam tempoh 26 tahun minggu ini membimbangkan tetapi pandangan menyeluruh mengenai situasi itu perlu diambil kira.

 

Anwar berkata, pelaburan adalah tinggi dan inflasi serta pengangguran menurun dan pertumbuhan Malaysia boleh dikekalkan berbanding negara jirannya.

 

"Lihat pandangan menyeluruh ini dan kapasiti untuk negara berkembang," kata Anwar kepada pemberita pada majlis pelancaran pusat kewangan Tun Razak Exchange (TRX).

 

Anwar berkata, kerajaan akan terus memantau nilai ringgit tetapi menyerahkan kepada bank pusat untuk bertindak.

 

Bank pusat pada Selasa berkata, prestasi ringgit baru-baru ini sebahagian besarnya disebabkan oleh faktor luaran dan tidak menggambarkan prospek positif ekonomi Malaysia.

 

Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Datuk Abdul Rasheed Ghaffour berkata, memandangkan eksport yang bertambah baik, pemulihan dalam pelancongan, peningkatan dalam pelaburan, dan komitmen kerajaan terhadap pembaharuan struktur, kebanyakan penganalisis meramalkan ringgit meningkat tahun ini.

 

Anwar hari ini turut mengumumkan insentif untuk syarikat memindahkan pangkalan mereka ke pusat kewangan antarabangsa yang baru dilancarkan, TRX di ibu kota Kuala Lumpur.

 

ARTIKEL BERKAITAN: Paras semasa ringgit tidak cerminkan prospek ekonomi negara, kata Gabenor BNM

 

Insentif itu termasuk elaun bangunan industri, pengecualian cukai 70% daripada pendapatan berkanun untuk tempoh lima tahun untuk pemaju hartanah, dan pengecualian duti setem ke atas pinjaman dan perkhidmatan untuk syarikat berstatus TRX, lapor Reuters.

 

TRX ialah pembangunan seluas 28.3 hektar yang bertujuan untuk menjadi pusat kewangan dan perniagaan antarabangsa Malaysia. - DagangNews.com