Kejayaan raih AIP daripada ABS, Bumi Armada dijangka raih lebih banyak projek FLNG - Kenanga Research | DagangNews Skip to main content

Kejayaan raih AIP daripada ABS, Bumi Armada dijangka raih lebih banyak projek FLNG - Kenanga Research

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 12 Okt - Kejayaan menerima kelulusan prinsipal (AIP) daripada Biro Perkapalan Amerika (ABS) dijangka membuka ruang lebih luas kepada Bumi Armada Berhad bagi meraih lebih banyak projek rumusan inovatif infrastruktur gas asli cecair terapung (FLNG).

 

Kenanga Research berkata, kumpulan itu telah membangunkan unit pencairan berasaskan kapal untuk kapasiti reka bentuk LNG padat termodular dan boleh diulang.

 

"Sekiranya dilaksanakan tanpa sebarang masalah, rumusan itu akan menjadi lebih murah untuk pelanggan kerana penyelesaian pencairan terapung akan lebih fleksibel berbanding rumusan darat semasa," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Terdahulu, rumusan itu merupakan kaedah inovatif yang mebawa LNG kepada pasaran dengan pantas, kos efektif, fleksibel dan diyakini.

 

Konsep baharu FLNG ini menggabungkan unit pencairan berasaskan kapal yang baharu dibina dan penggunaan pengangkut  LNG sedia ada untuk penyimpanan.

 

BACA JUGA: Bumi Armada terima AIP daripada ABS bagi rumusan inovatif infrastruktur gas asli cecair terapung

 

Dalam nota berasingan, firma penyelidikan itu berkata, penutupan unit terapung, pengeluaran, penyimpanan dan pemunggahan (FPSO) Kraken mungkin menjejaskan pendapatan 3QFY23 tetapi aset itu telah beroperasi sepenuhnya sejak Ogos 2023 selepas transformer unit itu berjaya dipulihkan.

 

Katanya, kumpulan itu juga memperoleh kemudahan pinjaman berjangka bersindiket untuk jumlah AS$105.5 juta dengan tempoh matang akhir pada 25 September 2023 bagi membiayai semula kemudahan sedia ada dan ini mengurangkan lagi kebimbangan mengenai tahap penggearan semasanya.

 

"Kami menyukai Bumi Armada kerana daya tarikan yang berterusan dalam usahanya untuk mengurangkan kunci kira-kiranya, keterlihatan pendapatan jangka panjang daripada buku pesanan yang besar melebihi RM20 bilion dan merupakan pesaing utama bagi kontrak EPCC AS$1 bilion untuk FPSO Cameia," katanya.

 

Firma itu mengekalkan saranan 'outperform' dengan harga sasaran (TP) 62 sen sesaham. - DagangNews.com