Kejayaan raih kontrak bernilai RM47 juta daripada DBKL, HLIB positif terhadap prospek ITMAX | DagangNews Skip to main content

Kejayaan raih kontrak bernilai RM47 juta daripada DBKL, HLIB positif terhadap prospek ITMAX

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 9 Feb - Hong Leong Investment Bank (HLIB) Research positif terhadap prospek ITMAX System Bhd terutama selepas kejayaan meraih kontrak pertama pada tahun ini bernilai RM47 juta daripada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) bagi menggantikan sekitar 18,000 lampu jalan LED di ibu negara.

 

Kumpulan itu berkata, projek penggantian lampu itu melibat satu pertiga jumlah keseluruhan di kawasan ibu kota iaitu sekitar 45,000 hingga 50,000.

 

"Kami percaya kumpulan itu berpotensi untuk memenangi baki kontrak keseluruhan yang dianggarkan bernilai RM71 juta hingga RM84 juta.

 

"Projek yang diraih daripada DBKL itu dijangka siap antara satu hingga dua tahun," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

ARTIKEL BERKAITAN: ITMAX raih kontrak bernilai RM47.2 juta bagi kerja penggantian lampu jalan daripada DBKL

 

Firma penyelidikan itu berkata, jumlah buku pesanan kumpulan itu adalah yang tertinggi sepanjang masa iaitu sebanyak RM917 juta yang akan diiktiraf secara berperingkat sehingga Mei 2039.

 

Pada akhir suku ketiga 2023, buku tender kumpulan itu berjumlah sekitar RM600 juta.

 

HLIB berkata, ITMAX sebelum ini berjaya meraih tiga kontrak daripada majlis bandar raya utama di Johor iaitu Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB), Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP) dan Majlis Bandaraya Pasir Gudang (MBPG). Nilai kontrak ini berjumlah RM296.2 juta bagi tempoh 15 tahun.

"Kami faham bahawa mereka sedang dalam peringkat rundingan akhir bersama majlis perbandaran lain dengan jangkaan kontrak lebih besar," katanya.

 

Firma penyelidikan itu mengekalkan saranan 'beli' dengan harga sasaran (TP) lebih tinggi sebanyak RM2.91 berbanding RM2.08 sesaham.

 

“Kami berpendapat ITMAX layak mendapat penilaian lebih tinggi kerana mereka mempunyai pendedahan langsung kepada tema kecerdasan buatan (AI) terutamanya dalam bentuk aplikasi.

 

"Kami percaya bahawa sistem bersepadu dan rumusan bandar pintar buatan sendiri ini memberikan potensi pertumbuhan kukuh di sebalik buku pesanan dan tender yang tinggi," katanya. - DagangNews.com