Kejayaan raih projek daripada MBJB, HLIB positif terhadap prospek pendapatan ITMAX | DagangNews Skip to main content

Kejayaan raih projek daripada MBJB, HLIB positif terhadap prospek pendapatan ITMAX

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 19 Sept - Hong Leong Investment Bank (HLIB) Research positif terhadap prospek pendapatan ITMAX System Berhad selepas kerjayaannya meraih projek perkhidmatan pengawasan video daripada Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB).

 

Firma penyelidikan itu yakin dengan penembusan sulung kumpulan itu ke selatan tanah air itu akan membantu meningkatkan pendapatannya.

 

"Kontrak selama 15 tahun ini adalah yang paling lama pernah diraih kumpulan itu. 

 

"Ini akan memberikan ITMAX peluang besar untuk mengembangkan liputan dan menjual lebih banyak kemudahan kepada MBJB," katanya dalam satu nota.

 

Southmax Sdn Bhd (SSB), anak syarikat milik ITMAX, telah menerima surat anugerah bertarikh 14 September 2023 daripada MBJB berhubung dengan penyediaan perkhidmatan pengawasan video, yang termasuk arahan pintar pusat dan sistem kamera litar tertutup dengan ciri kecerdasan buatan.

 

Ini akan dibuat secara langganan perkhidmatan di MBJB selama 180 bulan, dari 20 September 2023, hingga 19 September 2038, dengan harga RM105 juta.

 

BACA JUGA: ITMAX raih kontrak berjumlah RM105.32 juta bagi penyediaan perkhidmatan pengawasan video daripada MBJB

 

HLIB menyatakan bahawa MBJB hanyalah satu daripada 16 majlis di Johor, dan ia menjangkakan semua akan hadir dari semasa ke semasa bagi merealisasikan sistem bandar pintar bersepadu.

 

"Perjanjian ini hanya terdiri daripada perkhidmatan pengawasan video, dan kami tidak menolak bahawa penyelesaian lain seperti rangkaian lampu, pengurusan rangkaian trafik dan tempat letak kenderaan pintar akan dimasukkan dalam kontrak pada masa hadapan," katanya.

 

Firma penyelidikan itu berkata, pengiraan menunjukkan bahawa sewa setiap satu daripada 500 kamera di bawah kontrak ini menghasilkan kira-kira RM1,200 sebulan.

 

"Kami menjangkakan margin tinggi perkhidmatan pengawasan video dan analisis ITMAX dapat dikekalkan.

 

"Dengan penambahan ini, ia mempunyai jumlah tempahan yang belum dibilkan sebanyak RM715 juta, yang akan diiktiraf secara berperingkat sehingga September 2038," katanya.

 

Firma itu mengekalkan saranan 'beli' dengan harga sasaran (TP) tidak berubah sebanyak RM1.80. - DagangNews.com