Pengarah Urusan Kejuruteraan Asastera Bhd., Datuk Lai Keng Onn (kiri) bersama Pengarah KAB Robotics and Automation Solutions Sdn. Bhd., Datuk Yau Kok Seng menunjukkan produk OTSAW Technology Pte Ltd. sempena prapelancaran galeri pameran di Tropicana Avenue, Petaling Jaya, hari ini.
KUALA LUMPUR 10 Dis - Kejuruteraan Asastera Bhd. (KAB) kini merupakan pengedar eksklusif bagi produk OTSAW Technology Pte Ltd. di Malaysia.
Pengarah Urusan KAB, Datuk Lai Keng Onn berkata, pihaknya menyasarkan pelanggan perniagaan B2B yang mana mereka boleh membelinya secara langsung atau menyewa untuk memiliki tanpa memerlukan pendahuluan.
Katanya, secara dasarnya, ia adalah petanda yang baik untuk menjana pendapatan yang mampan untuk KAB.
"Kami berharap kerjasama dengan YL Global Ventures Sdn Bhd (YLGV) dapat membuahkan hasil dengan pembangunan dan penubuhan hab robotik pertama di Malaysia.
"Oleh itu, kami berbangga untuk menyatakan bahawa kami memiliki eksklusiviti sebagai rakan kongsi jualan semula yang sah untuk OTSAW di negara ini," katanya dalam kenyataan hari ini.
Berikutan pengumuman 14 September lalu, KAB telah melaksanakan perjanjian terma dengan YLGV untuk mula meneroka perniagaan penyelesaian robotik menerusi syarikat usaha sama yang diperbadankan, KAB Roboticx and Automation Solution Sdn. Bhd.
YLGV memiliki perjanjian eksklusif dengan OTSAW untuk menjual dan mengedarkan penyelesaian robotik OTSAW menerusi anak syarikat milik penuhnya, Isenze Sdn. Bhd.
OTSAW menyediakan penyelesaian robotik pembasmian kuman inovatif tercanggih menggunakan teknologi lampu LED UV-C untuk membersihkan dan melindungi daripada virus dan bakteria dengan kadar keberkesanan pembasmian kuman sebanyak 99.99%.
Keng Onn menyifatkan kerjsama dengan YLGV akan memberi manfaat kepada semua terutama ketika berdepan cabaran akibat pandemik COVID-19 dan juga kemunculan varian baharu, Omicron.
"Tambahan pula, produk OTSAW adalah unik dan boleh disesuaikan mengikut pelbagai keperluan dan keadaan.
"Dengan itu, pelancaran produk ini dapat memberi manfaat kepada kesejahteraan masyarakat, dengan memastikan premis yang bersih dan bebas kuman, terutama dalam persekitaran pandemik yang masih berterusan," katanya. - DagangNews.com