Kelemahan dagangan terus heret pertumbuhan ekonomi tahun ini – MIDF Research | DagangNews Skip to main content

Kelemahan dagangan terus heret pertumbuhan ekonomi tahun ini – MIDF Research

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 21 Julai - Kelemahan permintaan, terutamanya untuk barangan, akan menghalang pertumbuhan ekonomi tahun ini, kata MIDF Research.

 

Firma penyelidikan itu mengekalkan unjuran eksport dan import Malaysia masing-masing menurun sebanyak 3.4% dan 1.9% berikutan prestasi yang lebih lemah dalam separuh pertama tahun ini.

 

Semalam, Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) telah melaporkan jumlah dagangan menyusut 16.3% kepada RM222.1 bilion pada Jun berbanding RM265.4 bilion setahun sebelumnya, diheret oleh kejatuhan eksport dan import masing-masing sebanyak 14.1% dan 18.9%.

 

 

 

BACA: Jumlah dagangan Malaysia jatuh 16.3% tahun atas tahun pada Jun kepada RM222.1 bilion - DoSM

 

 

Menurut MIDF Research, pemulihan eksport barangan elektrik dan elektronik (E&E) dan sektor pembuatan global boleh menjadi faktor positif untuk menyokong prospek dagangan dalam separuh kedua tahun ini, selain daripada rangsangan tertangguh daripada pemulihan China.

 

“Pada asas bulan ke bulan, eksport meningkat sebanyak 3.7% daripada bulan sebelumnya, didorong terutamanya oleh eksport E&E yang lebih tinggi. Bertentangan dengan permintaan lemah seperti yang ditunjuk oleh tinjauan Indeks Pengurus Pembelian (PMI), eksport E&E mencatatkan pertumbuhan yang mampan pada Jun 2023,” katanya dalam nota penyelidikan hari ini.

 

Bagaimanapun, firma itu berkata prospek jangka pendek untuk eksport akan dihalang oleh eksport komoditi yang lemah (terutamanya minyak sawit dan pada tahap tertentu petroleum mentah) memandangkan harga semasa yang kekal di bawah tahun lepas.

 

Sementara itu, import dijangka jatuh dalam beberapa bulan akan datang kerana pengeluar menunjukkan pendirian yang lebih berhati-hati terhadap prospek permintaan jangka pendek memandangkan aktiviti pembuatan global terus lemah.

 

Di samping itu, MIDF Research berpendapat bahawa jangkaan kelembapan dalam permintaan global, terutamanya daripada pasaran maju seperti Amerika Syarikat (AS) dan negara Eropah, akan menyebabkan prospek perdagangan kekal kurang memberangsangkan berbanding tahun lepas.

 

“Walaupun dasar tambahan merangsang aktiviti perniagaan dan perdagangan lebih kukuh di China akan menjadi positif untuk prospek perdagangan serantau, kami meramalkan permintaan luar akan kekal lembap memandangkan rangsangan terhad daripada pemulihan China setakat ini, pembuatan global lemah dan jangkaan kelembapan permintaan dari AS dan Eropah,” tambahnya.

 

Selain itu, firma itu menambah bahawa risiko penurunan yang lain juga boleh menjejaskan prospek perdagangan, termasuk ketegangan geopolitik dan perdagangan yang semakin teruk, pemulihan lebih lemah di China, inflasi tinggi berterusan dan seterusnya, penguncupan pertumbuhan global lebih tajam daripada jangkaan.

 

“Walaupun kelembapan perdagangan luaran akan menghalang pertumbuhan ekonomi, kami yakin bahawa peningkatan perbelanjaan domestik dan pertumbuhan mampan di hadapan domestik akan menjadi pemacu pertumbuhan utama tahun ini,” katanya. - DagangNews.com