Kelembapan ekonomi global diunjur jejas prospek SLP Resources, kata Kenanga Research | DagangNews Skip to main content

Kelembapan ekonomi global diunjur jejas prospek SLP Resources, kata Kenanga Research

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 7 Feb - Kenanga Research mengunjurkan kelembapan ekonomi global akan menjejaskan prospek SLP Resources Bhd dan diburukkan lagi oleh konflik geopolitik yang sedang memuncak ketika ini.

 

Katanya, permintaan terhadap semua produk keluaran kumpulan itu khususnya pembungkusan plastik kekal mencabar akibat permintaan global yang lemah.

 

Firma penyelidikan itu berkata, jumlah eksport beg dapur dan plastik sampah SLP khususnya ke pasaran Jepun meningkat sebanyak 20% dari tahun ke tahun disokong ledakan sektor pelancongan di negara itu yang dibantu kelemahan yen.

 

"Bagaimanapun, jumlah itu masih rendah jika berbanding sebelum musim pandemik COVID-19.

 

"Pada FY22, beg dapur dan plastik sampah masing-masing menyumbang 20% dan 10% daripada hasil keseluruhan kumpulan," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Terdahulu, untung bersih 3QFY23 kumpulan itu susut 45.98% kepada RM2.67 juta berbanding RM4.94 juta setahun sebelumnya, disebabkan oleh perubahan dalam campuran produk dan kos pengeluaran yang lebih tinggi berikutan peningkatan dalam kos utiliti.

 

Harga purata jualan kumpulan juga telah diselaraskan berikutan persaingan sengit dalam industri.

 

Kenanga Research berkata, kumpulan itu hampir mendapat pembeli baharu bagi filem pembungkusan makanan (MDO-PE) daripada pengeksport makanan sejuk beku yang berpangkalan di Vietnam dan Eropah.

 

Katanya, filem pembungkusan MDO-PE kumpulan itu adalah bahan yang boleh dikitar semula sepenuhnya yan mendapat perhatian daripada pelbagai pihak terutama di Eropah kerana pemain industri di sana perlu segera mematuhi Arahan Sisa Pembungkusan dan Pembungkusan Eropah (94/62/EC) menjelang akhir 2025.

 

Menerusi arahan itu, sekurang-kurangnya 65% berat semua sisa pembungkusan (terdiri daripada kertas, kadbod, plastik dan kaca) mesti boleh dikitar semula, dengan sasaran khusus 50% untuk sisa plastik .

 

"Menjadi syarikat pertama bagi pengeluaran filem pembungkusan MDO-PE di rantau ini memberikan kelebihan kepada mereka kerana kekurangan persaingan di dalam pasaran," katanya.

 

Firma penyelidikan itu mengekalkan saranan 'market perform' dengan harga sasaran (TP) 96 sen sesaham. - DagangNews.com