Kelington miliki prospek positif memacu prestasi suku-suku berikutnya – Kenanga Research | DagangNews Skip to main content

Kelington miliki prospek positif memacu prestasi suku-suku berikutnya – Kenanga Research

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 1 Jun - Kelington Group Berhad miliki prospek yang akan memacu prestasi lebih baik pada suku-suku berikutnya berdasarkan buku pesanan tertunggak bernilai RM1.93 bilion dan kecekapan kawalan kos.

 

Kenanga Research berkata keputusan suku pertama tahun kewangan 2023 (1QFY23) lemah secara bermusim namun masih mencatat keuntungan bersih dua kali ganda tahun ke tahun (YoY), di mana kumpulan itu membayangkan trend prestasi dalam trajektori menaik menjelang akhir tahun.

 

“Ini disokong oleh perancangan projeknya yang mantap ditambah dengan kecekapan kawalan kos seperti yang dibuktikan dalam prestasi 1QFY23, di mana perbelanjaan pentadbiran hanya meningkat 25% YoY berbanding pertumbuhan pendapatannya sebanyak 78% YoY,” katanya dalam nota hari ini.

 

Selain itu, loji cecair karbon dioksida kedua (LCO2) dijangka beroperasi menjelang Oktober 2023 dan akan meraih peluang perniagaan kilang pertama sedia ada yang sudah beroperasi dengan kapasiti hampir penuh pada 91%.

 

Loji pertama sedia ada dengan kapasiti pengeluaran 50,000 tan setahun menyaksikan peningkatan operasi yang didorong oleh tempahan yang menggalakkan daripada industri makanan dan minuman di Asia dan rantau Oceania.

 

“Walaupun sektor semikonduktor lembap secara umum seperti dicerminkan dalam buku tender kumpulan menyederhana daripada RM2 bilion kepada RM1.4 bilion, kami percaya angka ini masih jumlah sangat besar dengan tender kerja yang banyak dalam ruang yang masih ada. S

 

“Selain itu, kumpulan itu mempunyai buku pesanan tertunggak cukup besar pada RM1.93 bilion, memberikan keterlihatan pendapatan kukuh berbanding syarikat teknologi lain yang bergelut dengan pengurangan tempahan berikutan cabaran iklim,” tambahnya.

 

Oleh itu, Kenanga Research mengekalkan unjuran dan saranan ‘outperform’ dengan harga sasaran (TP) RM1.92 sesaham.

 

Pada penutupan sesi dagangan tengahari ini, saham Kelington ditutup pada RM1.41 setelah menokok 1 sen atau 0.7% yang memberikannya modal pasaran berjumlah RM909.8 juta. -DagangNews.com