Kelington raih satu lagi kontrak UHP bernilai RM49 juta di Singapura | DagangNews Skip to main content

Kelington raih satu lagi kontrak UHP bernilai RM49 juta di Singapura

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 7 Sept. - Kelington Group Berhad menerusi anak syarikat milik penuhnya, Kelington Engineering (S) Pte Ltd memperoleh satu lagi kontrak Ultra High Purity (UHP) bernilai RM49 juta. 

 

Dalam makluman kumpulan kepada Bursa Malaysia, kontrak itu melibatkan kerja-kerja pengagihan sistem gas pukal untuk sebuah kilang pengeluar semikonduktor di Singapura.

 

“Kontrak ini bernilai kira-kira RM49 juta bermula dari September 2021 dan dijangka siap menjelang Mei 2023. 

 

“Kontrak ini dijangka menyumbang secara positif kepada perolehan dan aset bersih Kelington untuk tahun kewangan berakhir 31 Disember 2021 dan 31 Disember 2022,” jelas Kelington. 

 

Kumpulan tidak melihat kontrak itu akan mendatangkan sebarang risiko luar biasa kecuali risiko operasi yang berkaitan. 

 

Pada 18 Ogos lalu, Kelington menerusi anak syarikat yang sama telah meraih kontrak bernilai RM45 juta bagi projek tersebut untuk GlobalFoundries. 

 

Kontrak itu berkuatkuasa selama 12 bulan bermula 18 Ogos 2021 dan dijangka siap menjelang Julai 2022. 

 

Setakat laporan ditulis, harga saham Kelington tidak berubah pada kadar RM1.39 dengan 22,739 saham bertukar tangan. - DagangNews.com