Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi sedia peruntukan RM134.6 juta perkasa PMKS pada 2024 | DagangNews Skip to main content

Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi sedia peruntukan RM134.6 juta perkasa PMKS pada 2024

KUALA LUMPUR 10 Jan - Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi menerusi SME Corp Malaysia komited memperkasakan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) menerusi peruntukan RM134.6 juta bagi melaksanakan pelbagai inisiatif dan program pada 2024.

 

SME Corp  menyasarkan lebih 16,700 PMKS menerima faedah pada tahun ini.

 


Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk R. Ramanan berkata, SME Corp telah menyalurkan sejumlah RM131.3 juta dana yang telah memberi manfaat kepada 22,861 PMKS di seluruh negara.

 

Katanya, ia termasuk program bantuan kewangan untuk tujuan eksport, iaitu Program Promosi Eksport Bumiputera (GEB) dan program SMEs Go Global (SMEGG), serta program pembangunan keupayaan dan kapasiti eksport dan padanan perniagaan.

 

"Malaysia terus komited dalam usaha memperkasa ekosistem keusahawanan negara selaras dengan visi Dasar Keusahawanan Negara 2030 (DKN 2030) untuk menjadikan negara ini sebagai sebuah negara usahawan unggul dengan menjadikan kerangka Ekonomi Madani sebagai wadah untuk menyusun semula ekonomi ke arah menjadikan Malaysia peneraju ekonomi di Asia Tenggara.

 

"Komitmen ini juga mengambil kira Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-12 (KSP RMK12)yang telah menetapkan sasaran yang jelas untuk pertumbuhan PMKS menjelang 2025, seperti sumbangan 41% kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), 15% kepada eksport, 3.5% dalam purata pertumbuhan produktiviti tenaga kerja dan 90% PMKS mendigitalkan operasi perniagaan mereka,” katanya pada sesi taklimat sempena lawatan kali pertamanya ke Ibu Pejabat SME Corp, hari ini, lapor Bernama.

 

Sesi berkenaan bertujuan memberikan penerangan lanjut berkenaan peranan dan fungsi SME Corp sebagai Agensi Penyelaras Pusat (CCA) dalam pembangunan PMKS di Malaysia.

 

Pada masa sama, beliau berkata, Program Peningkatan Kapasiti dan Keupayaan (BAP) PMKS yang digantung sementara sebelum ini berikutan komitmen yang melebihi peruntukan, akan ditawarkan semula tahun ini dengan peruntukan berjumlah RM55 juta.

 

"SME Corp juga akan terus melaksanakan program utama lain seperti Program Pemantapan Perusahaan Bumiputera (BEEP), Rakan Usahawan Belia Bumiputera (TUBE), Program Pengukuhan Eksport, Industri Strategik dan Program Peningkatan Syarikat Berprestasi Tinggi (PRESTIG) serta Program BizMe untuk pembangunan perusahaan inklusif," katanya. - DagangNews.com