KUALA LUMPUR 14 Mac - Tealive telah melancarkan kempen Bang Bang Bazar Ramadan untuk menyalurkan sejumlah RM25,000 kepada empat badan amal di bawah konsep bazar amal yang unik.
Dalam satu kenyataan hari ini, Tealive menampilkan empat selebriti media sosial ‘menjual’ set kombo terpilih bernilai RM16 setiap satu dan sebahagian daripada hasilnya akan disalurkan kepada badan amal yang ditetapkan.
Selebriti yang dipilih untuk kempen itu ialah CEO Tealive (Ketua Pegawai Espresso), Fikry Ibrahim; pempengaruh TikTok, Imran Bard; penyampai televisyen dan YouTuber, Mark O’Dea serta pelakon dan model, Mierul Aiman.
Ketua Pegawai Pemasaran dan Digital Loob Holding Sdn. Bhd., Ng Yau Chuan berkata kempen itu merupakan salah satu cara Tealive mengambil berat terhadap masyarakat Malaysia dengan cara membantu antara satu sama lain.
“Kami ingin memupuk semangat mengambil berat terhadap orang lain dalam kalangan golongan muda, yang kebanyakannya adalah pelanggan kami.
Kami bekerjasama dengan influencer (pempengaruh) media sosial yang mempunyai peminat daripada kalangan anak muda iaitu gabungan sesuai demi kebaikan bersama,” katanya.
Menurut Tealive, empat badan amal yang terlibat adalah Persatuan Kebajikan Anak Kepada Pesakit HIV/AIDS Nurul Iman Malaysia (PERNIM) diwakili Mierul Aiman; Yayasan Food Bank Malaysia diwakili Imran Bard; Yayasan Budi Ihsan Malaysia (YBIM) diwakili Fikry; dan Persatuan Sindrom Down Malaysia diwakili Mark O'Dea.
Setiap seorang daripada mereka akan mempromosikan satu kombo mewakili satu badan amal dalam kempen yang berlangsung dari 15 Mac hingga 30 April itu.
Di samping itu, setiap badan amal akan menerima RM5,000 dan badan amal dengan kombo yang paling laris akan mendapat RM10,000.
“Kami berharap kempen ini dapat meringankan beban organisasi-organisasi ini," tambah Ng. -DagangNews.com