Kempen #JomLabur ASNB tawar hadiah sehingga RM200,000 | DagangNews Skip to main content

Kempen #JomLabur ASNB tawar hadiah sehingga RM200,000

 

 

KUALA LUMPUR 11 Okt. - Amanah Saham Nasional Bhd. (ASNB) melancarkan kemudahan pendaftaran akaun dalam talian dan onboarding pelanggan digital (e-KYC), serta fungsi pelaburan yang berasaskan matlamat dalam aplikasi mudah alih myASNB (aplikasi). 

 

Seiring dengan penambahbaikan aplikasi ini, ASNB yang juga syarikat pengurusan unit amanah milik penuh Permodalan Nasional Berhad (PNB), turut melancarkan kempen #JomLabur yang akan berlangsung sehingga hujung tahun ini. 

 

Kempen itu menawarkan peluang kepada semua pemegang unit untuk memenangi hadiah-hadiah bernilai sehingga RM200,000.

 

Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan PNB, Ahmad Zulqarnain Onn berkata, penambahbaikan aplikasi mudah alih myASNB ini merupakan sebahagian daripada komitmen mereka untuk terus menyampaikan inovasi kepada pemegang unit. 

 

"Kini sesiapa sahaja boleh membuka akaun ASNB atau mendaftar di portal dan aplikasi myASNB secara
terus melalui telefon mudah alih mereka. 

 

"Dengan kempen #JomLabur, kami menyediakan ciri-ciri yang memudahkan para pemegang unit mencapai matlamat kewangan mereka melalui pelaburan yang tetap dan konsisten," katanya dalam kenyataan hari ini.

 

Ciri onboarding mudah alih baharu ini membolehkan warga Malaysia membuka akaun melalui aplikasi myASNB tanpa perlu berkunjung ke cawangan atau ejen ASNB. 

 

Para pelanggan ASNB sedia ada juga kini boleh membuka akaun atau mengemas kini butiran peribadi secara
terus di portal dan aplikasi mudah alih myASNB. Ini membolehkan mereka untuk memulakan pelaburan dari keselesaan rumah sendiri.

 

Sementara itu, fungsi pelaburan baharu yang berasaskan matlamat, Target Labur, telah direka untuk mendorong setiap individu mencapai matlamat kewangan mereka seperti membeli hartanah, menyimpan untuk persaraan, merancang percutian atau mengetepikan sejumlah dana untuk pendidikan anak-anak. 

 

Selain daripada matlamat pelaburan yang telah ditetapkan, pemegang unit juga boleh menetapkan matlamat pelaburan mereka sendiri.

 

Fungsi Target Labur dilancarkan kepada pemegang unit secara berperingkat pada 8 Oktober lalu, bermula dengan kumpulan umur 18 hingga 34 tahun dan untuk semua pengguna aplikasi myASNB bermula pada 29 Oktober 2021. 

 

Pengguna aplikasi myASNB sedia ada dinasihatkan mengemas kini aplikasi agar dapat menggunakan fungsi baharu ini.

 

Sejajar dengan ciri-ciri baharu ini, ASNB melancarkan kempen #JomLabur untuk memberi ganjaran kepada pemegang unit yang menetapkan sekurang-kurangnya dua matlamat yang bernilai RM5,000 setiap satu. 

 

Kempen yang berlangsung dari 8 Oktober hingga 31 Disember 2021, disokong oleh Kumpulan UMW, Payments Network Malaysia Sdn Bhd (PayNet), Jirnexu Sdn Bhd (syarikat induk RinggitPlus.com) dan GrabCar Sdn Bhd. 

 

Pemegang unit yang menetapkan dua matlamat dengan jumlah sasaran sekurang-kurangnya RM5,000 setiap satu
akan berpeluang memenangi hadiah-hadiah seperti sebuah Toyota Vios, sebuah Toyota Yaris, dua buah iPhone 12, tiga buah iPad, 30 pas akses RinggitPlus Financial Planner, atau 200 baucar GrabFood.

 

Penambahbaikan terhadap aplikasi myASNB ini bertujuan untuk melancarkan dan memudahkan aktiviti pelaburan semua warga Malaysia dalam usaha mencapai matlamat kewangan mereka. Usaha ini adalah sebahagian daripada Strategi Pendigitalan ASNB. 

 

Ahmad Zulqarnain berkata, PNB gembira dapat bekerjasama dengan rakan-rakan kempen iaitu UMW, PayNet, RinggitPlus dan Grab.

 

"Kami berharap akan dapat menjalin kerjasama yang serupa pada masa hadapan demi manfaat semua warga Malaysia," katanya. - DagangNews.com