Kempen Ramadan, Selangkah Biz sedia insentif sehingga RM10,000 | DagangNews Skip to main content

Kempen Ramadan, Selangkah Biz sedia insentif sehingga RM10,000

 

 


KUALA LUMPUR 13 April - Selangkah Biz memperkenalkan kempen Ramadan mereka yang memberi insentif hingga RM10,000 kepada peniaga sepanjang bulan ini bagi menggalakkan peniaga beralih ke platform digital yang lebih selamat.

 

Menerusi inisiatif ini, peniaga akan diberikan wang tunai RM1 untuk setiap transaksi yang dibuat melalui aplikasi, dengan maksimum RM50 sehari. 

 

Pembelian minimum RM5 ke atas pula diperlukan untuk menebus pulangan tunai tersebut, berdasarkan terma dan syarat.

 

Ini kerana Selangkah Biz, yang dikuasakan oleh KiplePay, menyedari akan keperluan untuk melengkapi para peniaga dengan pilihan perniagaan yang lebih selamat. 

 

Ketua Pegawai Eksekutif Selangkah Ventures Sdn Bhd (SVSB), Tengku Iesta Tengku Alaudin berkata, peralihan ke arah digital merupakan antara strategi usahawan di Malaysia untuk memastikan kelangsungan perniagaan walau apa jua industri. 

 

Oleh itu, katanya, Selangkah ingin menjadikan peralihan itu berjalan lancar, terutama pada musim raya ini yang menyaksikan lebih banyak syarikat dan peniaga ingin menjalankan perniagaan. 

 

"Kami berharap mereka memperoleh manfaat daripada penyelesaian digital ini yang bertujuan bukan sekadar mengembangkan perniagaan mereka malah memastikan mereka dapat melakukannya dengan selamat pada musim ini,” katanya dalam kenyataan hari ini. 

 

Selangkah Biz menyediakan akses terhadap Platform Pembayaran Bersepadu kepada peniaga untuk menerima pembayaran tanpa tunai melalui beberapa e-dompet dan menguruskan transaksi harian mereka tanpa proses pendaftaran yang melecehkan serta yuran yang tinggi. 

 

Tiada yuran pendaftaran atau tahunan dikenakan kepada peniaga, malah Selangkah Biz merupakan antara yang mengenakan yuran transaksi terendah untuk pembayaran melalui aplikasi, sekali gus menjimatkan perbelanjaan operasi penggunanya. 

 

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif KiplePay, Tan Kay Yen percaya pendigitalan bakal mempelopori masa hadapan, dan satu-satunya cara untuk bergerak maju adalah dengan memastikan semua lapisan masyarakat mempunyai akses terhadap kemudahan yang betul untuk proses digitalisasi. 

 

"Sebagai penyedia penyelesaian pembayaran dengan pengalaman lebih dari dua dekad di Malaysia, kami berbesar hati dapat bekerjasama dengan Selangkah untuk membawakan kemudahan digital yang inklusif buat perniagaan tempatan berkembang dan menyumbang kepada ekonomi digital," katanya. - DagangNews.com