KUALA LUMPUR 20 Sept - Peningkatan 11% pada kadar sewa tiga Hotel AC diunjur meningkatkan keuntungan YTL Hospitality REIT (YTL REIT), menurut Maybank Investment Bank (Maybank).
Susulan pengumuman YTL REIT di Bursa Malaysia semalam, Maybank IB berkata ia positif terhadap langkah syarikat tersebut meningkatkan sewa bagi rangkaian hotel AC, yang melibatkan AC Hotel KL Titiwangsa, AC Hotel Penang Bukit Jambul dan AC Hotel Kuantan.
“Kami meningkatkan keuntungan bersih tahun kewangan berakhir 30 Jun 2025 dan 2026 (FY25-26) sebanyak 1% setahun dan harga sasaran (TP) dinaikkan 2 sen kepada RM1.08.
“YTL REIT kekal sebagai saranan ‘beli’ teratas bagi REIT Malaysia kami, disebabkan pendapatannya berdaya tahan, aset pegangangannya kukuh dan hasil pengagihan seunit (DPU) bersih yang menggalakkan sebanyak 8% berbanding sektor pada 6.6%,” ujarnya dalam nota penyelidikan hari ini.
Syarikat itu dilaporkan telah memeterai tiga perjanjian pajakan tambahan dengan pemajak AC Hotels, iaitu Prisma Tulin Sdn Bhd, Business & Budget Hotels (Pulau Pinang) Sdn Bhd dan Business & Budget Hotels (Kuantan) Sdn Bhd, untuk meningkatkan sewa tahunan berjumlah RM2.7 juta setahun.
Sebagai balasan, YTL REIT akan membayar kos baik pulih Hotel AC masing-masing yang dianggarkan RM38.5 juta.
Pengurusan menjangkakan perjanjian tambahan akan berkuat kuasa menjelang suku pertama tahun depan.
“Hotel AC menyumbang sekitar 5% kepada hasil YTL REIT pada FY25/26. Kami juga menjangkakan ekuiti kepada hutang kasar meningkat hingga 0.42 kali daripada 0.40 kali pada akhir FY23 disebabkan pengubahsuaian dan termasuk cadangan pengambilalihan Hotel Stripes Kuala Lumpur baru-baru ini, tambahnya.
Maybank IB berkata ia terus menyukai YTL REIT kerana pendapatan sewa yang stabil dan berulang daripada asetnya di Malaysia dan Jepun, serta prospek pertumbuhan pendapatan daripada hotelnya di Australia.
Firma itu berkata hasil bersih YTL REIT bagi tahun 2024 sebanyak 8.4% adalah yang tertinggi dalam kalangan REIT Malaysia di bawah liputannya. - DagangNews.com