Kenaikan harga minyak global beri manfaat kepada Dialog, Hibiscus Petroleum - RHB Investment | DagangNews Skip to main content

Kenaikan harga minyak global beri manfaat kepada Dialog, Hibiscus Petroleum - RHB Investment

Kenanga Research mengunjurkan pendapatan Dialog bakal meningkat dengan stabil didorong pendapatan daripada terminal tangkinya di Pengerang. Gambar Dialog Group
Oleh M. HERMAN HAMID

KUALA LUMPUR 22 April - Syarikat-syarikat yang menjalankan operasi penerokaan dan pengeluaran seperti Dialog Group Berhad dan Hibiscus Petroleum patut meraih manfaat daripada harga minyak global yang lebih kukuh. 


Menurut RHB Investment Bank, syarikat-syarikat huluan ini mendapat kelebihan daripada kegiatan pengeluaran minyak lebih mantap dan kadar sewaan lebih kukuh semasa peruntukan belanja modal (capex) tempatan meningkat. 


Katanya, ketidaktentuan yang timbul daripada konflik geopolitik di Timur Tengah yang berlaku baru-baru ini mungkin menyokong harga minyak dalam jangka dekat. 


"Kami bertindak menaikkan ramalan harga minyak Brent 2024F-2025F kepada AS$88 dan AS$83/setong," katanya yang mengekalkan saranan Wajaran Tinggi kepada sektor minyak dan gas serantau dalam nota penyelidikan hari ini.


Firma penyelidikan itu menyaraikan empat syarikat pilihan utama iaitu Dialog dan Dayang Enterprise (Malaysia), PTT Exploration & Production (PTTEP) (Thailand) dan Medco Energi Internasional (Indonesia).

 

RHB Investment dalam pada masa sama  menjangkakan adanya risiko untuk harga minyak mentah Brent mencecah paras tertinggi AS$140 setong jika ketegangan semakin teruk.


Katanya, sebagai makluman, minyak Brent hampir mencecah AS$140 setiap tong pada tahun 2022 ketika bermulanya konflik perang antara Rusia dengan Ukraine. 


Bagaimanapun jelas RHB Investment, gangguan pada pasaran minyak pada waktu ini agak terkawal jika ketegangan antara dua negara tersebut tidak memburuk lagi.

 

dial


"Pengeluaran minyak mentah Iran ialah sebanyak 3.2 juta setong sehari (mbpd) pada 1Q24 dan sebarang gangguan bekalan sepatutnya dilindungi oleh kapasiti lebihan OPEC (6.6mbpd)," ujarnya.

 

Sementara itu, Kenanga Research menjangkakan kepelbagaian dalam aset pengeluaran huluan membolehkan Dialog memanfaatkan kenaikan harga minyak.


Firma penyelidikan itu turut mengunjurkan pendapatan Dialog bakal meningkat dengan stabil didorong pendapatan daripada terminal tangkinya.


"Kawasan Pengerang di Johor dijangka menarik projek hiliran tambahan pada 2024, digalakkan oleh ketersediaan tanah mampu milik dan kestabilan kerajaan yang lebih baik. 


"Dalam jangka panjang, ini berkemungkinan meningkatkan permintaan untuk pelbagai jenis storan (termasuk minyak mentah, produk hiliran, dan mungkin produk boleh diperbaharui) sekali gus berpotensi meningkat permintaan untuk kapasiti penyimpanan dalam projek DIALOG Fasa 3 Pengerang," katanya. - DagangNews.com