Kenaikan kadar faedah, pertumbuhan campuran CASA pacu perkembangan Alliance Bank - RHB Research | DagangNews Skip to main content

Kenaikan kadar faedah, pertumbuhan campuran CASA pacu perkembangan Alliance Bank - RHB Research

oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 12 Jan - Alliance Bank Malaysia Berhad (Alliance Bank) dijangka mempunyai pertumbuhan pendapatan yang teguh dan kualiti aset yang berdaya tahan, manakala campuran akaun semasa dan akaun simpanan (CASA) peneraju industri membolehkannya meraih faedah maksimum daripada kenaikan kadar faedah.

 

RHB Research berkata, sasaran kadar pertumbuhan tahunan kompaun (CAGR) pinjaman empat tahun baharu bank itu antara 8% hingga 10% membayangkan kadar industri yang lebih tinggi.

 

Firma itu berkata, bank itu juga mendedahkan sasaran nisbah kos pendapatan (CIR) sebanyak 45% pada tahun kewangan 2027 (FY27).

 

"Jangkaan lonjakan perantaraan dalam CIR daripada pelaburan tambahan dan kos penubuhan yang diperlukan untuk merealisasikan rancangan ACCELER8 2027.

 

"Kami teruja dengan komitmennya terhadap nisbah pembayaran dividen 50% tetapi menganggap sasaran pulangan ke atas ekuiti (ROE) sebanyak 11% adalah sederhana, memandangkan ia sudah mencapai 11.6% pada 1HFY23 dan mempunyai sasaran kurang daripada 10% untuk FY23," katanya dalam satu nota kajian hari ini.

 

Alliance Bank melancarkan pelan hala tuju strategi ACCELER8 2027 baharunya dengan tumpuan utamanya melangkaui perbankan perniagaan dan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) selain pertumbuhan pinjaman CAGR empat tahun antara 8% hingga 10%.

 

Firma itu berkata, pelan hala tuju empat tahun baharu bank itu akan meluaskan visinya ke arah menjadi "Rakan Perbankan Pilihan", daripada tumpuan sebelumnya kepada pelanggan PKS dan perniagaan.

 

"Segmen yang disasarkan dalam ruang perbankan pengguna termasuk profesional muda dan individu bernilai tinggi selain mengembangkan operasi ke negeri-negeri di utara dan Malaysia Timur.

 

"Dari segi kelebihan daya saingnya, bank itu menonjolkan kepantasan, pemperibadian dan kecemerlangan perkhidmatan sebagai bidang tumpuan utama untuk empat tahun akan datang," katanya.

 

Firma itu mengekalkan sarnaan 'beli' dengan harga sasaran (TP) RM4.40 sesaham. - DagangNews.com