Kenaikan kos tenaga kerja, bahan mentah dijangka jejas keuntungan Kimlun pada 2023 | DagangNews Skip to main content

Kenaikan kos tenaga kerja, bahan mentah dijangka jejas keuntungan Kimlun pada 2023

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 27 April - Kenaikan kos bahan mentah, harga komoditi dan kos tenaga kerja yang lebih tinggi serta kekurangan jumlah pekerja dijangka terus menjejaskan keuntungan Kimlun Corporation Berhad pada 2023.

 

Pengerusinya, Pang Tin @ Pang Yon Tin berkata, bagaimanapun masalah kekurangan tenaga kerja dijangka berkurangan secara beransur-ansur dan pihaknya akan terus membida lebih banyak projek dan tempahan untuk meningkatkan aliran kerja pihaknya.

 

Katanya, langkah itu akan menyumbang secara positif kepada keputusan kewangan kumpulan pada 2023 dan seterusnya.

 

"Kumpulan mempunyai anggaran tempahan baki kerja pembinaan dan pembuatan, masing-masing sebanyak RM1.38 bilion dan RM350 juta pada 31 Disember 2022 daripada pelbagai pelanggan.

 

"Baki tempahan itu dijangka menyokong prestasi kumpulan pada 2023.

 

"Rekod prestasi kami dalam industri tempat kami beroperasi dan pengalaman luas dalam perniagaan ditambah dengan sokongan daripada bank merupakan faktor sokongan yang baik untuk kumpulan membida dan melaksanakan projek masa depan," katanya.

 

Beliau berkata, hasil kumpulan meningkat daripada RM691.1 juta pada FY21 kepada RM756.1 juta pada FY22 disebabkan kesan asas yang rendah kerana operasi mereka telah dihadkan dengan ketara pada FY21 semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 di seluruh negara.

 

Katanya, untung kasar kumpulan meningkat daripada RM50.1 juta pada FY21 kepada RM86.5 juta pada FY22 didorong oleh hasil yang lebih tinggi dan margin yang lebih baik sebanyak 11.4%.

 

"Margin keuntungan kumpulan pada FY22 disokong oleh kombinasi hasil dengan sebahagian besar disumbangkan bahagian pembuatan dan perdagangan serta dolar Singapura yang lebih kukuh berbanding ringgit meningkatkan keuntungan jualan di negara jiran itu.

 

"Selain itu ia juga disokong pemyerapan kos yang lebih baik dipacu oleh tahap operasi yang lebih tinggi," katanya. - DagangNews.com